KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan manifesto parti itu tidak akan dipenuhi dengan janji ‘bulan dan bintang’, serta bermodalkan fitnah, seperti mana beliau dakwa dilakukan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lepas.

Beliau berkata, dalam tempoh pemerintahan 22 bulan di bawah PH menyaksikan manifesto pakatan itu sekadar janji kosong, seperti ‘Janji Manismu’ dendangan penyanyi Aisyah.

Kata Presiden Umno  itu lagi, kerajaan Perikatan Nasional yang terbentuk selepas kejatuhan PH juga tidak menyediakan sebarang manifesto.

“Kita boleh menilai sendiri apa yang dilakukan PH ketika itu. Berbagai alasan diberikan kerana tidak mampu menunaikan janji. Padahal sebelum PRU14 pasukan mereka jugalah yang memasang khemah pengakap di Dataran Merdeka bagi menuntut PTPTN dihapuskan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebbooknya.

Maka, tegas beliau  tiada hala tuju dan garis panduan yang boleh dilaksanakan. Berbanding Barisan Nasional (BN), gabungan parti terlebih dahulu merangka manifesto.

“Apa yang penting aku janji itu adalah logik dan berkeupayaan untuk ditunaikan kerana BN amat mementingkan kebajikan rakyat, membangunkan negara dan ekonomi,” katanya lagi.

Ahmad Zahid berkata, beliau telah menerima saranan Sayap Pemuda dan Puteri UMNO sewaktu perhimpunan agung parti itu baru-baru ini, agar disediakan satu tawaran baharu untuk menarik kembali sokongan rakyat.

“Ini bermakna parti merangka manifesto dan aku janji terbaharu bagi mendepani PRU-15,’ katanya.