KUCHING:  Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kuching, Cheng Guangzhong berkata China dan Sarawak perlu bekerjasama dalam isu berkaitan vaksin Covid-19 kerana ia merupakan senjata penting memerangi virus berkenaan.

Menurut beliau, setakat ini, China mempunyai beberapa vaksin dalam kajian dan sudah dikeluarkan dengan berju8ta-juta dos vaksin disalurkan ke seluruh dunia.

“Keberkesanannya telah dibuktikan dan tiada kesan sampingan yang serius dikesan,” jelas beliau dalam temu bual dengan SV.

Katanya, China antara negara pelopor dalam pengeluaran  vaksin serta komited mempromosikan kerjasama vaksin antarfabangsa, serta sudah melaksanakan ribuan penyelidikan dan pembangunan vaksin Covid-19. Termasuk kerjasama pengeluaran dengan banyak negara.

“Secara keseluruhan usaha ini berjaya menarik lebih 100,000 sukarelawan dari 100 negara dan setakat ini sudah 17 vaksin Covid-19i China memasuki ujian klinikal,” jelasnya lagi.

Malah, kata beliau, lebih 60 negara, termasuk Malaysia membenarkan pengunaan vaksin dari China.

“Vaksin merupakan senjata penting untuk memerangi virus dan membawa harapan bagi menyelamatkan dunia. Justeru, China dan Sarawak perlu menjalin kerjasama dalam hal ini.

“Kita juga bersedia untuk berbincang dengan negara lain mengenai kemungkinan kerjasama serta protokol untuk saling mengiktiraf vaksin,” katanya.