BAU: Seorang warga emas ditahan selepas disyaki menjalankan penjualan loteri awam tanpa lesen berhampiran sebuah kedai di Jalan Temenggung Salau, di sini, semalam.

Aktiviti suspek berusia 64 tahun itu dikesan hasil risikan dilakukan bahagian Siasatan Jenayah Bau lebih kurang 20 minit di lokasi.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon mengesahkan kejadian berkata suspek ditahan oleh pasukan operasi sekitar jam 10.45 pagi.

“Pemeriksaan terhadap telefon bimbit milik suspek telah menjumpai aplikasi untuk penjualan loteri awam tanpa lesen dan sekeping kertas bertulis angka-angka disyaki loteri awam.

“Suspek bersama barangan kes termasuk wang tunai telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bau untuk tindakan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.