Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada 3 April 2021 telah dipengerusikan oleh Presiden BERSATU, YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin.

Dalam mesyuarat tersebut, BERSATU komited untuk terus memperkukuhkan kerjasama antara parti-parti anggota Perikatan Nasional iaitu PAS, STAR, SAPP dan GERAKAN. Dalam masa sama, BERSATU juga bersiap sedia untuk membantu rakan politik lain seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang setia menyokong kepimpinan YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin sebagai Perdana Menteri, khususnya dalam menghadapi Pilihanraya Dewan Undangan Negeri Sarawak akan datang.

MPT BERSATU sebulat suara bersetuju untuk melantik 12 orang wakil BERSATU, diketuai sendiri oleh YAB Tan Sri Presiden dalam Jawatankuasa Permesyuaratan BERSATU-PAS di peringkat pusat bagi merangka strategi kedua-dua parti untuk menghadapi PRU-15 akan datang.

MPT BERSATU turut memutuskan untuk menyegerakan pelantikan Ketua-ketua Bahagian Ahli Bersekutu dalam masa terdekat bagi memperkasakan dan meningkatkan lagi penglibatan ahli-ahli bersekutu BERSATU di seluruh negara.

Selain itu, MPT BERSATU menegaskan bahawa parti mengiktiraf peranan serta penglibatan aktif anak muda dalam bidang politik dan aktiviti kemasyarakatan. Sehubungan itu, BERSATU menyeru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyegerakan pelaksanaan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 berhubung kelayakan mengundi pada usia 18 tahun.

BERSATU beriltizam untuk terus fokus dan meningkatkan gerak kerja parti di setiap peringkat dalam usaha untuk membantu rakyat Malaysia yang masih terkesan akibat penularan pandemik COVID-19 dalam negara dan situasi ekonomi global yang mencabar.

DATO’ SERI HAMZAH ZAINUDIN
Setiausaha Agung
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)