KUALA LUMPUR: Bersatu menyeru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya menyegerakan pelaksanaan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 berhubung kelayakan mengundi pada usia 18 tahun.

Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata langkah itu perlu sebagai mengiktiraf peranan serta penglibatan golongan muda dalam politik.

“Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu menegaskan bahawa parti mengiktiraf peranan serta penglibatan aktif anak muda dalam bidang politik dan aktiviti kemasyarakatan,” katanya dalam kenyataan hari ini  seperti dipetik Bernama susulan Mesyuarat MPT parti itu semalam.

Sementara itu, Hamzah berkata Bersatu telah melantik 12 wakilnya yang diketuai Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri bagi menganggotai Jawatankuasa Permesyuaratan Bersatu-PAS peringkat pusat untuk membincangkan strategi kedua-dua parti tersebut bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Dalam masa sama, Bersatu juga bersiap sedia untuk membantu rakan politik lain seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang setia menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sarawak akan datang,” katanya.

Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata MPT Bersatu mengulangi komitmennya untuk memperkukuhkan kerjasama antara parti-parti anggota Perikatan Nasional yang terdiri daripada PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).