UTTAR PRADESH: Seorang pencuri di Uttar Pradesh baru-baru ini dilaporkan mengalami serangan jantung selepas melihat wang hasil rompakannya yang begitu banyak.

Menurut Ary News, dua perompak memecah masuk pusat khidmat awam dimiliki Nawab Haider dan berjaya mencuri wang tunai Rs1.4 juta (RM79,000) dan beberapa barangan berharga yang lain.

Mereka berdua begitu gembira dengan hasil rompakan itu dan membahagikannya sama rata.

Tiba-tiba salah seorang daripada mereka diserang sakit jantung dan dikejarkan ke klinik swasta untuk mendapatkan rawatan.

Kos rawatan tersebut dibayar menggunakan wang hasil rompakannya.

Kisah mereka berdua diketahui umum selepas polis menangkap mereka.

Menurut polis, mereka berdua mempunyai rekod jenayah dan memiliki beberapa kes di pejabat polis berlainan.

Mereka mengaku melakukan rompakan di pusat khidmat awam dan melarikan wang tunai lebih Rs1.4 juta dan barangan berharga lain.

Mereka memberitahu polis bahawa mereka memikirkan pusat itu hanya memiliki ribuan rupee, tetapi tidak menyangka dapat memperoleh sejumlah wang yang begitu banyak.