MIRI: Sebuah kapal tangki minyak dikendalikan empat kru termasuk dua warga Vietnam tidak berpermit ditahan pada jarak lebih kurang 89 batu nautika barat laut dari Tanjung Lobang, pada Khamis.

Pengarah Zon Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Miri, Kapten Maritim Md Fauzi Othman berkata, vesel itu dikesan ketika aset Maritim sedang menjalankan rondaan Op Permai sekitar jam 12.50 tengah hari.

Menurutnya, kapal terbabit dikendalikan empat kru termasuk tekong berumur 41 hingga 49 tahun.

“Dua daripada kru merupakan warga tempatan manakala dua lagi merupakan warga Vietnam disyaki tiada permit kerja di atas vesel Malaysia

“Pemeriksaan lanjut mendapati lesen kapal domestik (DSL) vesel tersebut tamat tempoh serta tiada pelepasan pelabuhan dam tiada permit menggunakan kru warga asing,” katanya.