Tuesday, July 27, 2021

Adakah Bersatu, Pas akan bertempur dengan GPS dalam PRN, PRU nanti?

Mesti baca

Ketika berada di Kuching dalam kunjungan rasminya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berikrar Perikatan Nasional (PN) khususnya  Bersatu  dan Pas akan memberi sokongan padu kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada pilihan raya negeri akan datang.

Menurut beliau, soal kerusi untuk ditandingi di Sarawak bukan keutamaan kepada PN kerana yang paling penting ialah memastikan GPS terus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti yang kukuh.

“Kita (PN dan GPS)  rakan seperjuangan dalam parti dan paling mustahak  kita dapat sokongan pengundi supaya kerajaan negeri dapat dibentuk semula dengan kemenangan besar.

Bagi Muhyiddin ada atau tidak kerusi (PN)  ialah soal kedua kerana kerana yang penting ialah kemenangan GPS. Ini tentu berita baik kepada GPS.

Yang menjadi persoalan banyak pihak ialah adakah Bersatu akan bertanding dalam PRN dan PRU nanti? Adakah GPS akan membenarkan Bersatu bertanding di kerusi PBB dan parti komponen lain?

Seyogia diingat, ketika ini, Bersatu  memiliki satu kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak menerusi Datuk Ali Biju di Krian. Malah, Ali juga menguasai kerusi Parlimen Saratok, dan seorang lagi Ahli Parlimen Bersatu ialah Datuk Willie Mongin (Puncak Borneo)

Beberapa minggu lalu, Naib Presiden Kanan, PBB Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pendirian GPS berhubung persefahaman dengan Bersatu pada PRN-12 akan diumumkan Abang Johari selaku Pengerusi GPS.

Namun menurut Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr James Jemut Masing, Bersatu sudah memberi jaminan kepada GPS untuk tidak bertanding di negeri itu pada PRN-12 atau PRU-15.

“Bersatu sudah memberi jaminan untuk tidak bertanding di negeri Sarawak dalam pilihan raya negeri dan umum serta jaminan ini diberikan oleh PN pada tahun lalu.

Kita (GPS) berharap mereka berpegang teguh kepada janji dan mengharapkan perkara yang sama daripada pihak mereka,” Masing dipetik berkata oleh pelbagai media sebelum ini.

Tambah Presiden PRS itu, sekiranya Bersatu tidak mengotakan janji, maka GPS akan terus mempertahankan hak mereka tanpa kompromi.

Pada Julai tahun lalu, Masing pernah mengeluarkan kenyataan sama berkaitan janji yang diberikan Bersatu dan Parti Islam Se-Malaysia (Pas) untuk tidak bertanding di Sarawak menerusi PRN dan PRU.

Persetujuan itu dicapai dalam sebuah mesyuarat melibatkan kesemua pemimpin tertinggi PN dan GPS pada 1 Julai 2020.    Menurut beliau, jaminan itu diberikan sendiri oleh Presiden dan Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika mesyuarat semua pemimpin parti komponen Perikatan Nasional (PN) dan sekutu GPS selama dua jam di Putrajaya.

“Jaminan ini bukan sahaja memberi laluan jelas kepada GPS untuk menentang pembangkang tetapi juga petanda baik bahawa parti komponen PN menghormati komitmennya untuk membantu GPS pada PRN nanti,” katanya dalam kenyataan pada Julai 2020.

Pada September 2020 pula,  Ahli Majlis Tertinggi PBB Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata PAS dan Bersatu  tidak wajar bertanding pada  PRN Sarawak bagi mengelakkan perebutan kerusi dengan GPS kerana sebagai rakan kongsi dalam satu pergerakan politik, semua parti dalam kerajaan sepatutnya menyokong antara satu sama lain dan tidak berlawan sesama sendiri.

Wan Junaidi yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata pemimpin PAS dan Bersatu juga pernah menyatakan kepadanya secara peribadi bahawa kedua-dua parti berkenaan tidak akan bertanding di Sarawak.

Sebelum ini Pesuruhjaya Pas Sarawak Jofri Jaraiee meminta GPS memberi beberapa kerusi kepada parti itu  sebagai tanda kerjasama dalam kerajaan PN.

Tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan berakhir pada Jun tahun depan selepas PRN ke-11 diadakan pada 7 Mei 2016.

Saya yakin GPS tidak akan semudah itu untuk memberi sebarang kerusi  kepada Pas dan Bersatu dalam PRN atau PRU nanti.

Secara Rawak

Artikel Terbaru