KOTA SAMARAHAN: Penduduk Kampung Sindang Baru yang menerima kunjungan daripada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini, menyifatkan mereka sebagai pemimpin yang berjiwa rakyat.

Menurut Aris Julaihi, beliau terkejut apabila dimaklumkan bahawa kedua-dua pemimpin tersebut akan datang ke rumahnya.

“Ini kali pertama saya berjumpa dengan beliau (Muhyiddin) secara bersemuka, saya berasa bangga dan berterima kasih kepada beliau kerana sudi datang ke rumah saya.

“Saya melihat kedua-dua pemimpin kita ini memang berjiwa rakyat dan sangat baik, malah ucapan Perdana Menteri yang saya dengar di televisyen juga tidak ‘menyentuh’ sesiapa dan hanya fokus berbicara tentang rakyat,” katanya.

Bekas imam dan bilal tersebut berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Muhyiddin dan Abang Johari dalam Program Ziarah Prihatin bersempena dengan Lawatan Kerja Ke Negeri Sarawak, di Kampung Sindang Baru di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengasas Kampung Sindang Baru merangkap bekas Penguhulu Sajili Busrah berkata, hari ini merupakan kali pertama beliau berjumpa dengan pemimpin negeri dan negara di kampung tersebut sejak menjadi penghulu sekitar tahun 1986.

“Ini membuktikan bahawa kedua-dua pemimpin kita (Muhyiddin dan Abang Johari) benar-benar berjiwa rakyat, kalau tidak mereka tidak akan datang berjumpa dengan rakyat miskin di pelbagai tempat.

“Saya bersyukur melihat mereka sanggup datang ke sini, saya juga berasa bangga kerana pemimpin terbesar negara duduk di sebelah saya,” ujarnya.

Dalam hal berkaitan, Muhyiddin ketika lawatan beliau hari ini turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga yang terlibat dalam Program Ziarah Prihatin tersebut.

Selain itu, beliau turut diiringi oleh Abang Johari, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah; Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang; Residan Bahagian Samarahan Brahim Lumpu serta wakil yang lain.