KUALA LUMPUR: Pas menolak politik yang menghabiskan masa dengan bermain politik sampingan dan jalanan yang menyusahkan rakyat, tanpa melihat kepada musim bencana alam dan wabak yang masih menular hari ini, kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, Pas  menolak muafakat yang berpecah dan menyeleweng daripada matlamat Muafakat Nasional yang asal.

Justeru, beliau menyeru semua kumpulan Islam menyertai pakatan baru, Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin yang berteraskan Islam memimpin dan berintegriti, selain mengajak kelompok bukan Islam yang tidak ekstrem berjuang bersama.

“Matlamat untuk masuk ke medan perjuangan bagi membela umat dalam satu negara dengan melibatkan semua golongan atas asas Perlembagaan yang merdeka dan berdaulat.

“Pas menolak muafakat tanpa bersatu dan menolak kumpulan yang menunjukkan tiada kesetiaan kepada negara dengan sifat melampau yang mencabar agama dan bangsa,’ katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

“Pas menolak agenda yang bertujuan semata-mata untuk menyelamatkan peribadi pemimpin dan kumpulannya, bukan untuk menyelamatkan negara dan semua rakyat,” katanya lagi.

“Marilah bersama tawaran baharu ini iaitu berintegriti dan berkebajkan yang berpijak atas Perlembagaan Persekutuan yang meraikan masyarakat majmuk beragama dan berbangsa<” ujar beliau.

“Marilah sama-sama menolak ekstremisme dan liberalisme yang merungkaikan ikatan agama dan bangsa,“ kata Abdul Hadi.

Sehingga kini katanya, Pas tidak mengalami krisis yang memerlukan kepada penubuhan sebuah parti baharu sebagai alternatif dan tidak perlu diperbaharui pendaftarannya.

“Tujuan PAS sudah terang lagi bersuluh, bukanlah sekadar berhasrat untuk menyelamatkan seseorang atau kumpulan dan kelompok yang kecil sahaja, malah tujuannya adalah untuk menyelamatkan seluruh manusia seberapa ramai yang mungkin.

“Maka, jika terdapat mereka yang sempit dan terhad tujuannya itu pasti ditinggalkan,” katanya lagi.