KUCHING: Pagi tadi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akhirnya berkesempatan menikmati mi kolok di sebuah kedai mi kolok terkemuka di bandar raya ini.

Kalau sebelum ini, beliau hanya menyebut kenikmatan mi kolok berkenaan dalam ucapannya, namun beliau dapat merasainya sendiri dalam lawatan rasmi ke Sarawak kali ini.

Perdana Menteri berada di kedai itu sekitar 7.30 pagi tadi sambil diiringi Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg

Pada waktu yang sama, impian pemilik kedai berkenaan agar suatu hari Perdana Menteri berpeluang menikmati mi kolok enak mereka juga tercapai.

Dalam pengumuman pakej rangsangan ekonomi rakyat (Prihatin) tambahan perusahaan kecil dan sederhana pada 4 April tahun lalu, Muhyiddin mi kolok Haji Salleh sebagai contoh.

Mi kolok Haji Salleh di Satok memang terkenal dalam kalangan penggemar mi kolok di bandar raya ini sehingga sejak awal pagi lagi kedai itu dikerumuni peminatnya.

“Kami ingin menjadikan mi tersebut sebagai makanan yang sesuai dimakan pada waktu pagi, tengah hari, petang dan malam,” kata Pengurus Restoran Haji Salleh, Freda Salleh.

Beliau mengakui sejak Perdana Menteri menyebut mengenai mi di kedai mereka, mereka tidak menang tangan melayan para pelanggan yang berkunjung ke kedai itu.

Pagi tadi, selain mi kolok, kuih tradisi tempatan termasuk kuih lapis turut dihidangkan kepada Perdana Menteri.