KUCHING: Dengan dukungan padu Gabungan Parti Sarawak (GPS), kestabilan politik akan dapat dikekalkan dan pentadbiran negara berjalan lancar, terutamanya dalam mengurus pandemik Covid-19 sedang melanda Malaysia waktu ini.

Perdana Menteri YAB Datuk Patinggi Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan YAB Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan terus berkhidmat kepada rakyat Sarawak dengan melaksanakan segala langkah dan usaha untuk meninggikan taraf hidup rakyat dan menjamin kehidupan yang lebih aman, makmur dan sejahtera.

“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ketua Menteri atas kepimpinan beliau yang saya percaya telah berjaya membawa Sarawak ke mercu kejayaan yang lebih cemerlang.

“Saya ingin ulangi ucapan terima kasih saya yang tidak terhingga kepada Ketua Menteri yang pagi tadi telah sekali lagi menyatakan sokongan padu GPS kepada Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan saya di peringkat Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Jamuan Negeri sempena lawatannya ke Sarawak malam tadi.

Muhyiddin yakin Sarawak di bawah kepimpinan Abang Johari akan terus makmur dan maju jaya.

Abang Johari merupakan Pengerusi GPS yang dianggotai oleh empat komponen parti iaitu Parti Pekasa Bumiputera Bersatu (PBB) Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Sebagai rekod GPS mempunyai 18 ahli Parlimen yang menyokong pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional.