KUALA LUMPUR: Parti Amanah tidak mempunyai kekuatan sendiri sebaliknya hanya bergantung nasib dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan DAP dalam meneruskan kelangsungan hidup parti itu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata demikian sebagai tindak balas kepada Pengarah Komunikasi parti itu, Khalid Samad yang mendakwa Umno sebagai sebuah parti yang lemah.

“Khalid Samad minta Pakatan Harapan (PH) jangan serah tengkuk kepada Umno. Umno sedang lemah. Umno  mahu bergantung kepada PH, Khalid kata risikonya tinggi.

“Khalid kena faham maksud ‘bergantung’. Bergantung maksudnya mengharapkan kekuatan orang lain untuk menang seperti Amanah bergantung kepada personaliti Tun M untuk menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Tetapi apabila imej Tun M menjunam jatuh kerana janji dicapati, maka kerajaan PH jatuh selepas 22 bulan memerintah. Khalid Samad sendiri hilang jawatan menteri. Baru Amanah dan Khalid tahu, parti itu tidak ada kekuatan sendiri hanya bergantung nasib dengan Tun M dan DAP,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Batu Pahat berkata situasi ini berbeza dengan Umno yang mempunyai akar umbi kukuh yang sentiasa mendukung perjuangan parti meskipun selepas mengalami kekalahan pada PRU-14 lalu.

“Sebaliknya Umno yang ada kekuatan akar umbi kembali bangkit. Hanya Amanah sahaja yang belum ada rezeki untuk kalahkan Umno  dalam PRK selepas PRU-14.

“Umno kalahkan DAP di Cameron Highlands, kalahkan Bersatu di Semenyih dan Tanjung Piai, PKR di Rantau, Warisan di Kimanis dan Pejuang di Slim.

“Sebab itu tiga Ahli Dewan Undangan Negeri Amanah di Johor melompat masuk PKR. Kenapa? Mereka tidak yakin akan menang di PRU-15 atas tiket Amanah yang tidak banyak cawangan dan jentera,” ujarnya.

Kata Puad lagi, penghijrahan pemimpin Amanah kepada PKR ini mungkin menjadi petanda awal bahawa parti itu gagal dalam mengurus tadbir parti sendiri.

“Menurut Khalid, Amanah mahu permulaan baru perlu habiskan misi yang belum selesai kerana sempat memerintah 22 bulan sahaja.

“Rasanya Amanah tidak akan sempat buat apa apa malah gagal menjadi alternatif kepada Pas. Lagi ramai pemimpinnya akan masuk PKR. Jangan Amanah tutup kedai sudah,” katanya.