MANILA: Pada Januari tahun lalu, Kent Ryan Tomao yang tinggal di Kidapawan, Filipina diserang beberapa lelaki ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya.

Dia kemudiannya dikejarkan ke hospital dan doktor di hospital terbabit hanya menjahit lukanya tanpa mengeluarkan pisau berukuran empat inci yang terbenam berdekatan dadanya.

Menurut Oddity Central, selepas pulih dari kecederaan, Tomao meneruskan kehidupannya tanpa sebarang masalah.

Pada awal Mac lalu, dia menjalani pemeriksaan kesihatan yang diperlukan oleh majikan baharunya dan hasil ujian imbasan menunjukkan pisau itu masih terbenam di dalam badannya, kali ini berdekatan tulang rusuknya selang beberapa inci dari paru-parunya.

Sebaik sahaja mendapat tahu kewujudan pisau itu, Tomao menjadi berang dan menuntut agar doktor di hospital yang merawatnya setahun lalu itu mengeluarkan pisau itu dengan segera.

Menurutnya akibat pisau itu, dia tidak dapat memulakan pekerjaan sebagai pelombong, kerana majikan baharunya berpendapat tidak selamat baginya bekerja dengan pisau yang masih ada di dalam badannya.

Tomao memberitahu biarpun dia tiada niat mengambil tindakan undang-undang terhadap hospital berkenaan, namun dia mahu pihak hospital menanggung kos pembedahannya nanti.