KUCHING: Tumpuan Sarawak untuk membangunkan infrastruktur fizikal ialah langkah tepat bagi memastikan kemakmuran ekonomi dicapai  penduduk di kawasan  pedalaman, kata Perdana Menteri dalam usaha Sarawak mencapai taraf negeri maju menjelang 2030.

Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, strategi dan perancangan Kerajaan Negeri selaras  dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 negara untuk mencapai kelestarian ekonomi.

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 ialah iltizam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif pada semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan.

\Matlamat utama Wawasan Kemakmuran Bersama adalah untuk menyediakan taraf hidup yang wajar kepada rakyat Malaysia pada 2030.

“Infrastruktur fizikal antaranya Lebuh Raya Pan Borneo dan teknologi digital melibatkan sambungan Internet  perlu untuk memastikan kita  dapat memperuntukkan ruang ekonomi yang mampan bagi rakyat menjana pendapatan,” katanya

Beliau berkata demikian dalam ucapannya  pada Majlis Perjumpaan Khas Perdana Menteri bersama-sama penjawat awam negeri dan persekutuan di  sebuah hotel di sini hari ini.

Perdana Menteri juga menyatakan Sarawak amat kaya dari segi sumber termasuk minyak dan gas yang dapat diterokai untuk memajukan negeri ini.