KUALA LUMPUR: Umno perlu memikirkan kepentingan rakyat sebelum mengambil tindakan untuk meletakkan jawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Ketua Penerangannya, Shahril Sufian Hamdan.

“Adakah dengan tarik diri sekarang adalah yang terbaik? Itu kena dibincangkan. Mungkin benda itu kita rasa terbaik untuk Umno tapi ada kesannya kepada rakyat. Jadi Umno kena juga memikirkan perkara itu dan saya yakin itu akan dipertimbangkan,” katanya.

Ditemui pemberita selepas menjadi ahli panel pada Forum Demokrasi Malaysia: ‘Merangka Masa Depan Demokrasi Parlimen di Malaysia’, di sini hari ini, Shahril Sufian  dipetik Bernama berkata tiada sebarang tempoh tertentu diberikan kepada mereka yang memegang jawatan untuk melepaskan jawatan mereka.

“Ogos itu antara satu tarikh yang disebut oleh seorang jurubahas (perwakilan) negeri dan logiknya kerana Ogos dijadualkan darurat tamat. Tapi hak atau pun keputusan Majlis Tertinggi (MT) dan presiden tidak terikat kepada satu tarikh sahaja. Boleh jadi Ogos boleh jadi bukan Ogos,” katanya.

Susulan keputusan Perhimpunan Agung Umno 2020 untuk menarik sokongan daripada kerajaan PN, Ahli Parlimen Umno yang memegang jawatan menteri dan timbalan menteri dalam Kabinet PN atau menyandang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) daripada parti itu disaran meletak jawatan.