KUALA LUMPUR: Kesemua menteri daripada parti UMNO bersepakat untuk terus kekal dalam kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin  bagi memastikan  segala perancangan kerajaan dalam mengendalikan isu Covid-19 dan memulihkan ekonomi negaara tidak terjejas.

Perdana Menteri menjelaskan, keputusan itu dicapai selepas pertemuan beliau dengan para menteri itu pada Isnin.

“Mereka meminta nasihat saya mengenai kedudukan mereka di dalam kabinet berikutan keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2020) bahawa parti itu akan memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Saya telah menasihati mereka supaya terus kekal berada di dalam kabinet kerana mengambil kira kepentingan rakyat dan negara, “ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perhimpunan  Agung Umno 2020 Ahad lalu  meluluskan usul supaya tiada kerjasama dengan Bersatu pada PRU-15 dan kebersamaan dalam kerajaan PN diteruskan hingga pembubaran Parlimen.

“Pada masa ini tumpuan utama kerajaan adalah untuk memerangi Covid-19, melaksanakan program imunisasi kebangsaan dan memulihkan ekonomi negara,” katanya.

“Alhamdulillah, atas nasihat yang saya berikan, kesepakatan telah dicapai bahawa semua Menteri UMNO akan terus kekal berada di dalam kabinet.

“Dengan kesepakatan ini, saya memberi jaminan bahawa kabinet akan berfungsi seperti biasa dan segala inisatif kerajaan akan terus dilaksanakan seperti yang dirancang,” ujarnya yang juga Presiden Bersatu.