SIBU: Demi meminati kucing baka import dan mahal, seorang jururawat di sebuah hospital di sini mengalami kerugian sejumlah RM11,550 setelah ditipu menerusi penjualan haiwan peliharaan yang tidak wujud Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, terdahulu mangsa berusia 25 tahun itu memperoleh maklumat menerusi iklan di Facebook yang disiarkan oleh penama akaun Mocthar Alamsyah.

Tertarik dengan iklan mempromosikan baka kucing import untuk dijual pada 28 Mac lalu, beliau berkata, mangsa tanpa berfikir panjang terus berminat serta menghubungi Mocthar Alamsyah.

“Mangsa berminat dan membeli dua kucing jenis British Shorthair dengan harga promosi RM1,100 dan menghubungi penjual baka kucing itu melalui pesanan dalam peti mesej Facebook.

“Setelah itu, mangsa kemudian berurusan dengan suspek bernama Rhocim melalui WhatsApp,” ujarnya sebentar tadi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu.