Tuesday, May 11, 2021

Nelayan di Lawas dibantu untuk keluar dari kemiskinan 

Mesti baca

LAWAS: Kerajaan Sarawak sentiasa berusaha untuk memastikan rakyat terutama nelayan keluar daripada dibelenggu kemiskinan. 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, atas sebab itu Kerajaan Sarawak menerusi Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) telah memberikan bantuan berupa enjin sangkut kepada nelayan yang memerlukan. 

“Melalui peruntukan NRDA, kita agihkan enjin sangkut ini. Kita utamakan kepada mereka yang ada lesen dan memerlukan enjin sangkut ini. 

“Kebanyakan nelayan di sini adalah nelayan pantai dan ada juga nelayan sungai. 

“Dengan bantuan enjin sangkut ini, mereka akan dapat menambah pendapatan masyarakat di sini,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Enjin Sangkut Program Peningkatan Pendapatan KPLB yang telah diadakan di Jeti Kampung Noor Islam, Kuala Lawas pada Ahad. 

Pada majlis itu, seramai 20 orang nelayan dari Kampung Nor Islam, Kuala Lawas menerima enjin sangkut. 

Tambah Datuk Amar Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari, beberapa projek pembangunan untuk kepentingan orang kampung juga telah disenarai dan akan dilaksanakan seperti pembinaan jeti konkrit dengan peruntukan sebanyak RM500,000 dan membina jalan pertanian di kampung ini. 

Sementara itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dalam ucapannya memberitahu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin telah meminta setiap Menteri Kerajaan Perikatan Nasional (PN) melihat sendiri keperluan pembangunan di Sarawak dan Sabah. 

“Setiap menteri yang berkepentingan di peringkat Kerajaan Persekutuan diminta untuk turun dan melihat sendiri keadaan di Sarawak dan Sabah. 

“Ini adalah untuk memastikan perkara-perkara yang dibangkitkan Ahli Parlimen daripada negeri itu dapat kita penuhi,” katanya. 

Hadir sama Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar Malaysia merangkap Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Menteri Muda Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Luar Bandar Datuk Che Murad Sayang Ramjan, Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan Ketua-ketua Jabatan dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK). 

Secara Rawak

Artikel Terbaru