Saturday, October 23, 2021

Pembentukan Majlis Khas MA63 bukti komitmen Kerajaan Persekutuan bangunkan Sarawak

Mesti baca

LAWAS: Pembentukan Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) oleh Kerajaan Persekutuan membuktikan komitmen tinggi dalam usaha membangunkan Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, dengan jumlah penduduknya lebih kurang 2.8 juta dan mempunyai lebih 6,000 kampung sememangnya pembangunan berterusan sangat diperlukan di negeri ini.

“Usaha untuk membangunkan Sarawak sememangnya memerlukan komitmen yang begitu tinggi di antara Kerajaan  Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin telah bersetuju membentuk Majlis Khas MA63 untuk merealisasikan semangat dan aspirasi masyarakat di Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.

“Penubuhan satu kementerian khas dipanggil Hal Ehwal Sabah dan Sarawak yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dilihat sebagai menjaga kepentingan Sarawak dan Sabah yang didokong dengan dasar kemakmuran bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Malaysia Prihatin (Pemimpin Bersama Rakyat) yang diadakan di Hotel Seri Malaysia, Lawas pada Sabtu.

Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak menambah, Kerajaan Sarawak juga memerlukan kerjasama baik daripada Kerajaan Persekutuan untuk terus membangunkan infrastruktur asas seperti jalan raya, jalan kampung, jambatan, bekalan air dan elektrik dan sebagainya.

“Di Sarawak, dari segi pendidikan, sekolah-sekolah masih banyak yang dalam keadaan daif seperti di luar bandar. Ada yang masih menggunakan sekolah dari tahun 60 an dahulu. Begitu juga dengan kesihatan, banyak hospital yang perlu dibuat baru dan dinaik taraf.

“Misalnya, Hospital Lawas yang tertangguh dulu telah pun dapat dimulakan pembinaannya sekarang,” tambahnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari turut mengulas mengenai banyak projek yang sudah dilulus oleh kerajaan terdahulu telah dibatalkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Dianggarkan, jumlah keseluruhan projek yang sepatutnya dilaksanakan itu tetapi telah dibatalkan Kerajaan PH tidak kurang daripada RM2.9 bilion.

“Atas inisiatif untuk terus membangunkan infrastruktur, Kerajaan Sarawak telah memperuntukan RM4 bilion untuk bekalan air luar bandar dalam tempoh dua tahun dan bekalan elektrik lebih kurang RM2.3 bilion untuk keperluan rakyat Sarawak khususnya mereka yang berada di kawasan luar bandar.

Dalam majlis yang sama, Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Malaysia Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad menyifatkan komitmen Sarawak terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak boleh di pandang ringan dan ini adalah suatu yang serius.

“Orang Sarawak ini sudah matang dalam percaturan politik. Hubungan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak amat unik.

“Menerusi Kerajaan PN, Sarawak bersatu hati memberi sokongan yang padu demi memastikan kesejahteraan dan kestabilan politik dicapai di Malaysia,” katanya.

Hadir sama Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar Malaysia merangkap Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Menteri Muda Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Luar Bandar Datuk Che Murad Sayang Ramjan, Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Ketua-ketua Jabatan dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Lawas.

SourceUKAS

Secara Rawak

Artikel Terbaru