ASAJAYA: Penerima Skim Pembesaran Kampung (SPK) di seluruh Sarawak hanya membayar RM120,000 bagi hartanah bernilai RM373,000.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kos menyediakan satu lot tanah di bawah SPK ialah RM193,000.

“Ini termasuk kerja menembok tanah, menyambung bekalan elektrik dan air serta membina jalan yang semua ditanggung oleh Kerajaan Sarawak.

“Kemudian rumah dua tingkat dibina di tanah itu dengan kos asalnya RM180,000 seunit namun penerima SPK hanya membayar RM120,000 sahaja dengan pinjaman daripada Mutiara Mortgage and Credit Sdn Bhd,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan SPK Kampung Sambir di sini semalam.

Menurutnya, pelaksanaan SPK merupakan hasil kerjasama Jabatan Tanah dan Survei (JTS), Mutiara Mortgage and Credit Sdn Bhd serta Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC).

“HDC menyediakan rumah yang tingkat atasnya dibina terlebih dahulu. “Apabila penerima SPK mempunyai rezeki lebih, mereka boleh membina dinding di tingkat bawah yang menjadikan rumah mereka seperti banglo,” jelasnya.

Katanya, dasar SPK seumpama itu mendapat permintaan daripada rakyat.

“Kita juga melaksanakan skim ini di Kemuyang Sibu dan turut dibina di Kampung Sambir dengan 269 unit. “Justeru akan wujudnya perumahan moden di kawasan pesisir kelak,” ujarnya.