PADA Julai 2020, Bersatu dan Pas berpendirian untuk tidak bertanding di Sarawak dalam PRN-12 susulan keputusan GPS untuk bersama-sama PN membentuk Kerajaan Persekutuan pada bulan Mac.

Pendirian gabungan dianggotai empat parti politik dari Sarawak menyebabkan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak lagi menjadi Perdana Menteri, dan akhirnya PH hanya berkuasa selama 22 bulan.

Pendirian Bersatu dan Pas itu tentu satu khabar gembira untuk GPS. Apatah lagi kini, kedua-dua parti itu ialah sekutu dalam Perikatan Nasional yang membentuk Kerajaan Persekutuan. Bersatu dan Pas mempunyai cawangan di Sarawak.

Sebelum PN dibentuk, dan ketika negara ini diterajui PH, kedua-dua parti itu ialah musuh politik GPS.

Presiden PRS, Tan Sri Dr James Jemut Masing ketika itu berkata, jaminan berkenaan dinyatakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika mesyuarat pemimpin 12 parti yang membentuk Kerajaan Persekutuan di Putrajaya.

Pendirian itu diambil mungkin sebagai satu daripada syarat ketika GPS bersetuju untuk bersama-sama PN dan menyokong Muhyiddin pada Februari tahun lalu selepas PH tumbang.

Pendirian itu juga diambil sebagai persefahaman budiman hasil kejayaan mereka membentuk Kerajaan Persekutuan. Bagaimana mungkin parti sekutu hendak bertembung sesama sendiri?

Apakah makna jaminan ini? Jaminan berkenaan membawa beberapa implikasi.

Pertama, jaminan ini akan memberi laluan jelas kepada GPS untuk menentang pembangkang. Memang tidak elok untuk parti sekutu dalam perikatan untuk bertembung sesama sendiri.

Sebaliknya, mereka perlu membantu parti anggota bagi memastikan kemenangan yang kemudiannya membawa kepada pembentukan kerajaan.

Namun, kemungkinan lain boleh sahaja berlaku selepas PRU-15 nanti apatah lagi dinamika politik di negara ini sukar diduga selepas PRU-14 pada 2018.

Kedua, ia satu petanda baik bahawa parti komponen PN komited membantu GPS pada PRN-12. Bantuan parti anggota perikatan sudah tentu dialu-alukan oleh GPS.

Dengan bantuan daripada Bersatu dan Pas, dan tiada usaha untuk meletakkan calonnya sudah pasti ini akan mendatangkan kelebihan kepada GPS yang mengikut banyak penganalisis politik tidak sukar untuk membentuk kerajaan selepas PRN-12 nanti.

Ketiga, bagaimana dengan nasib wakil rakyat Bersatu dan PKR yang kini bersama-sama PN atau menyokong PN dan kepemimpinan Muhyiddin?

Mungkinkah mereka akan diminta untuk bertanding sebagai calon Bebas yang mesra PN? Tetapi GPS tentu tidak boleh mengambil mudah formula itu.

Secara khusus, bagaimanakah nasib bekas Ahli Parlimen PKR Datuk Ali Biju (Saratok), Datuk Wilie Mongin (Puncak Borneo), dan juga bekas Ahli Parlimen PKR Larry Sng (Julau) dalam PRU nanti? Persoalan yang sama juga relevan untuk Ahli Parlimen Lubok Antu MP Jugah Muyang yang pernah menyertai PKR dan kini jadi Ahli parlimen Bebas.

Sebab, siapakah yang dapat menjamin bahawa Bersatu pimpinan Muhyiddin akan membentuk kerajaan selepas PRU nanti? Mungkin sahaja dinamika dan penjajaran politik baharu akan berlaku. Siapakah yang dapat menolak kemungkinan bahawa Umno dan PKR akan bergabung untuk membentuk kerajaan baharu?

Sebagai entiti politik bebas yang tidak terikat dengan BN atau PN, GPS tentu tidak mahu tangannya diikat. GPS tentu mahu bertindak dan membuat keputusan yang dapat menjamin kedudukan dan kuasanya tidak terjejas oleh faktor keterikatan dengan perikatan yang dibentuk.

GPS pasti mahu menjadi kingmaker dan bebas membuat keputusan perikatan dan entiti politik mana yang hendak disertainya untuk membentuk kerajaan jika berlaku kejadian seperti yang berlaku pada Februari 2020.

Bukankah dengan itu, GPS akan mempunyai posisi lebih kuat kerana tangannya berada di atas, berbanding tangannya dapat sahaja dibelit jika ia berada dalam perikatan formal seperti dengan BN sebelum ini? Sudah tentu kedudukan ini akan memberi kelebihan kepadanya.

Dalam keadaan sedemikian GPS pasti tidak akan mahu mengambil risiko untuk membenarkan penyandang berkenaan berdiri sebagai calon Bebas dalam pilihan raya nanti. GPS tentu tidak mahu membuat kesilapan sehingga menyebabkannya berputih mata.

Dalam keadaan demikian kelihatannya, tidak dapat tidak, kalau keadaan sudah terdesak dan tidak memihak kepada mereka, besar kemungkinan penyandang terbabit akan berdiri sebagai calon Bebas. Dengan itu, pertembungan dengan calon GPS nampaknya tidak dapat dielakkan.

Jadi, perhitungan bijak dan tepat amat penting dibuat demi memastikan GPS dapat terus menjadi penentu dan pentakrif dalam politik negeri dan nasional nanti.

Saya yakin, GPS tidak akan bertolak ansur dengan Bersatu atau Pas jika kedua-dua parti itu berkeras mahu bertanding dalam PRN atau PRU nanti.

Untuk apa GPS perlu tunduk kepada permintaan dan desakan sedemikian, sedangkan ia sedar bahawa peluangnya untuk menang di kerusi bumiputera adalah cerah?

GPS tentu tidak akan mahu berunding dan berkompromi dalam isu kerusi kerana sukar dibayangkan bagaimana ia mahu melepaskan kerusi yang secara tradisi telah ditandinginya untuk sekian lama.

Lagipun, sebelum ini Pengerusi GPS telah menegaskan bahawa gabungan itu akan bertanding di semua 31 kerusi Parlimen dan 82 kerusi DUN yang pernah ditandinginya.
Kenyataan itu bermakna bahawa tiada ruang langsung untuk mana-mana parti dari Semenanjung berunding bagi mendapatkan sebarang kerusi.

Yang menjadi teka-teki ialah adakah kemungkinan empat penyandang terbabit akan menyertai mana-mana parti anggota GPS yang terdiri daripada PBB, PRS, SUPP dan PDP?
Adakah PBB akan menerima penyertaan Ali Biju dan Willie seandainya mereka memohon menyertai parti itu? Ke mana hala tuju Larry, kerana kelihatannya, sukar untuk beliau menyertai mana-mana parti politik bumiputera?

Ini merupakan antara persoalan menarik menjelang PRU-15 dan PRN-12 nanti.