MIRI: Tujuh ahli kumpulan “Geng Dolphin Boy” yang dilaporkan sering membuat kekecohan dan kekerasan di sekitar bandar raya Miri dicekup polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, kesemua suspek lelaki itu ditahan menerusi Ops Cantas oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Miri.

Menurutnya, tangkapan melibatkan suspek masing-masing berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun.

“Kumpulan ini dipercayai mula aktif pada tahun 2018 yang diketuai oleh seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 35 tahun.

“Mereka disyaki sering terlibat dalam pergaduhan di pusat hiburan di mana ahli kumpulan ini sering bertindak agresif termasuk mencederakan mangsa dengan menggunakan senjata tajam atau kayu belantan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.