KUALA LUMPUR: Tan Sri Annuar Musa mendedahkan bagaimana tugas yang diarahkan kepada beliau untuk menjadi jambatan antara UMNO dengan Bersatu terkandas apabila ada kepincangan atau ‘breakdown’ dalam usaha mempertemukan pucuk pimpinan dua parti itu.

Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu berkata, arahan daripada Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ialah supaya beliau berhubung dengan Bersatu, namun akhirnya, beliau yang dituduh menjadi duri dalam daging UMNO.

“Tidak adil kepada saya. Dalam menjalankan tugas, saya pula dituduh pro-Bersatu. Saya kata you (Zahid) tak bela saya.

“Boleh tanya Presiden UMNO, boleh tanya Perdana Menteri, dua-dua masih hidup. Saya nak jumpa Perdana Menteri nak merapatkan kedua-dua orang ini,” kata Astro Awani.

“Sehingga saya jemput beliau datang ke rumah saya, untuk membolehkan saya jemput presiden saya, makan berdua, supaya mereka boleh bincang masalah-masalah parti tanpa gangguan orang lain,” katanya.

Annuar menjelaskan, beliau menjalankan tugas untuk membawa mesej presiden, mesej parti, serta keputusan-keputusan parti untuk disampaikan ke sebelah pihak satu lagi sepertimana diarahkan.

Namun, dedahnya lagi, sehingga hari ini, UMNO secara rasmi belum pernah duduk dengan Bersatu untuk berbincang, antaranya tentang hal pembahagian kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

“Saya dahulu bersama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai ahli jawatankuasa perundingan kerusi.

“Kami teruskan berunding bersama badan perhubungan negeri, kemudian saya aturkan perundingan dengan Badan Perhubungan Pas, tetapi dengan Bersatu tidak pernah,” kata Astro Awani lagi.

“Terakhir ialah, satu malam Ismail Sabri pimpin rundingan dengan Pas, malam yang sama, saya pergi berunding secara pentadbiran dengan Bersatu.

“Kerja-kerja itu kita buat. Tetapi perundingan sebenar tak pernah berlaku, kerana apa? Ada ‘breakdown’ antara dua pucuk pimpinan,” dedahnya.

Beliau merasakan dalam hal ini, para pemimpin UMNO harus berjiwa besar demi kejayaan parti yang pada hakikatnya memerlukan gandingan kerjasama dan tidak boleh berjuang bersendirian.

Bagi Annuar, formula kemenangan adalah dengan memastikan UMNO mengungguli penyatuan dan perpaduan orang Melayu.