JAKARTA: Dalam usaha memberi kesedaran kepada pemerintah dan orang ramai, seorang lelaki muncul dengan idea unik menarik perhatian pihak berkuasa tempatan.

Video yang kini tular di media sosial menunjukkan Amaq Ohan mandi di dalam lopak di sebatang jalan berdekatan kediamannya.

Dia juga duduk dengan kakinya bersilang di kerusi di depan lopak itu dengan payung besar melindungi dirinya.

Amaq juga memancing di dalam lopak itu biarpun semua orang sedia maklum tiada ikan di dalamnya.

Tujuannya hanya satu untuk mendapat perhatian pihak berwajib supaya segera membaiki jalan raya tersebut.

Amaq juga tidak peduli dengan orang ramai yang lalu lintas di hadapannya, yang geli hati melihat telatahnya.

Ini sebagai protes ke atas keadaan jalan dan saluran yang rosak.

“Jalan berlubang ini mengorbankan banyak nyawa, ”kata Amaq, aktivis sosial dan sukarelawan kepada wartawan tempatan.

Aktivis itu mengatakan jalan itu sudah rosak dua tahun dan keadaannya bertambah buruk dalam beberapa bulan terakhir ini.

Menurut Ary News hasil usaha Amaq, Jabatan Kerja Raya dan Perancangan Wilayah NTB memberitahu mereka akan membaiki jalan itu segera.