Wednesday, June 29, 2022

Cerita Wak Sal: 85 tahun dan masih sihat

Secara Rawak

Jika umurnya panjang, 15 tahun lagi dia akan berusia 100 tahun.

Pada usia 85 tahun sekarang ini, dia tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan atau penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan masalah jantung.

Badannya mungkin sedikit bongkok berbanding pada masa mudanya, tetapi dia masih boleh berjalan tanpa bantuan tongkat.

Untuk insan pada usia itu, dia masih boleh bergerak bebas – di dalam dan di luar rumah. Masih boleh mengerjakan solat dan menguruskan dirinya dengan baik.

Masanya hari ini banyak dihabiskan untuk mengaji di surau sekitar Kerling. Menyediakan bekalan untuk dunia satu lagi, katanya.

Dia yang saya maksudkan ialah Wak Salbiah Abdul Razak, dua pupu arwah ibunda saya yang tinggal di Kampung Jawa, Kerling, Hulu Selangor.

Abdul Razak dan datuk saya, Kemin bin Raji adalah sepupu.

Wak Sal dan arwah emak saya kerana membesar bersama-sama sejak zaman kanak-kanak lagi di Kerling dan juga di Behrang, sebenarnya sudah macam adik-adik beradik.

Mereka sama-sama melalui kesukaran zaman Jepun. Saya pula sejak kecil memang sering ke rumah Wak Sal yang kerap menjamu saya dengan ubi/keledek rebus atau goreng.

Bila balik ke rumah ada sahaja buah tangan yang diberi untuk dibawa pulang.

Setelah dewasa, sekurang-kurangnya setahun sekali pada Hari Raya Aidilfitri saya akan menziarahi Wak Sal pada hari pertama atau kedua untuk menikmati rendang landak dan beberapa hidangan Jawa masakannya. Memang enak.

Saya mengunjungi beliau semalam selepas mengerjakan solat Jumaat di Masjid Al-Ubaidiah, Mukim Kerling, tempat kelahiran saya 68 tahun yang lalu.

Pembangunan masih belum mengubah wajah kampung saya dibesarkan itu.

Setiap kali saya balik ke kampung, apa yang saya cuba lakukan ialah menziarahi adik-adik saya dan saudara mara saya yang lain.

Saya (kiri) dan adik serta dua orang sepupu menziarah Wak Sal di rumahnya di Kampung Jawa, Kerling selepas solat Jumaat semalam – 26 Mac 2021. Foto rakaman Baharum Wariya (kanan).

Wak Sal adalah salah seorang daripada mereka.

Sewaktu saya ke rumahnya semalam, dia sedang beristirehat selepas menunaikan solat zohor.

“Maaflah lambat sikit buka pintu. Lepas zohor tadi, Wak cuba mengaji, mata mengantuk, terlelap pulak,” ujar beliau berterus terang selepas membuka pintu di ruang dapur untuk mempelawa kami, saya, seorang adik saya dan dua orang sepupu saya datang untuk memziarahi beliau.

Wak Sal tangkas seperti biasa, menyediakan minuman untuk kami dan sepinggan goreng keledek, sepiriring kerepek tempe dihidangkan untuk menjamu kami.

Berapa umur sekarang? Saya bertanya.

Dia sudah macam sudah tidak mengira umurnya seolah-olah usia tidak penting lagi dalam kehidupannya.

“Wak dilahirkan pada tahun 1936, kau kiralah sendiri,” katanya bergurau.

Rahsia kekal sihat, tidak ada apa yang dapat beliau nyatakan sekadar memberitahu:

” Anugerah Allah SWT. Alhamdulilah.”

Tiada diet tertentu yang menjadi amalannya. Atau suplemen tambahan yang diambilnya.

Tetapi beliau mengakui barangkali “keaktifannya berkerja sejak zaman mudanya sebagai penoreh getah menyebabkan Wak dirahmati dengan kesihatan yang baik.”

Beliau dan arwah suaminya suka berkebun di sekeliling rumahnya. Ada ubi kayu, keledek, pokok pisang dan pelbagai sayur-sayuran yang ditanam untuk kegunaan sendiri.

Terdetik dalam hati saya mungkin sumber makanan yang diistilahkan oleh orang sekarang sebagai organik atau tidak tercemar dengan racun membantu Wak Sal kekal sihat. Boleh jadi.

Mengenai makan minum pada masa ini pun, tiada pantang larang tertentu bagi beliau, tetapi “secara sederhanalah,” tambahnya yang kini tinggal bersama salah seorang anak perempuannya di rumah yang dibina oleh Allahyarham Wak Yunus, suaminya yang telah kembali ke ramahtullah beberapa tahun lalu.

Selain menziarahi Wak Sal, saya juga menziarahi tiga orang adik lelaki saya yang tinggal di Kampung Pasir, Taman Kolam Air Panas di Kerling dan juga di Kuala Kubu Bharu.

Tentulah tempat persinggahan saya adalah rumah pusaka arwah ibu yang masih okay, didiami oleh salah seorang adik saya.

Rumah atas tanah keluasan setengah ekar itulah juga tempat kami berkumpul setiap kali tibanya Hari Raya Aidilfitri. Atau pertemuan adik beradik yang lain seperti apabila kami mengadakan kenduri doa selamat.

Kebetulan setelah berada di kampung, saya juga sempat menunaikan solat Jumaat di sana.

Bersiap sedia untuk mendengar khutbah Jumaat yang mengingatkan para jemaah supaya menjauhi amalan terkutuk zina.

Tidak seperti di Shah Alam, untuk solat Jumaat di Kerling tidak memerlukan jemaah berdaftar terlebih dahulu.

Pihak Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid mengamalkan kedatangan terbuka. First come first serve, kata adik saya yang kebetulan setiausuaha AJK Masjid.

Mematuhi arahan pihak berkuasa agama negeri Selangor Darul Ehsan, jemaah dihadkan kepada tidak melebihi 450 orang.

Tiada had usia ditetapkan.

Tetapi SOP Covid-19 dipatuhi – masuk dengan mendaftar secara manual atau mengimbas MySejahtera bagi mereka yang mempunyai telefon pintar.

Suhu badan dicatat. Pelitup muka kena pakai.

Antara jemaah di depan dan di belakang, jarak fizikal satu meter ditanda dengan baik. Setiap jemaah wajib membawa sejadah sendiri.

Menyedari terdapat jurang digital yang ketera di desa kerana bukan semua jemaah mempunyai telefon pintar, maka tiga buku kedatangan masuk masjid disediakan oleh AJK Masjid untuk mencatatkan butiran diri – nama, nombor telefon dan juga ukuran suhu.

Langkah bijak ini mengelakkan kesesakan atau jemaah terpaksa berbaris panajang di pintu masjid.

Yang penting bagi AJK masjid Kerling ialah SOP dipatuhi dan solat Jumaat dan solat berjemaah wajib yang lain dapat disempurnakan dengan khusuk sekalipun ketika PKPB dan darurat.

Syabas AJK Masjid Kerling!

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru