PATNA: Seorang wanita yang sudah sembilan bulan hamil terpaksa menggunakan kereta lembu untuk ke hospital di Bihar selepas ambulans enggan mengambilnya dengan memberi alasan keadaan jalan raya yang teruk di kawasan wanita itu.

Insiden berlaku di daerah Katihar dan selepas kisah wanita menjadi tular, pihak berkuasa tempatan mengarahkan satu siasatan dijalankan tentang isu tersebut.

Naimul Haque yang tinggal di blok Amdabad menghubungi hospital apabila anak perempuannya hendak melahirkan anak, namun pihak hospital dikatakan enggan membantu mereka.

Haque kemudian menghubungi hospital swasta, jawapannya tetap sama.

Berikutan tiada pilihan lain Haque menyewa kereta lembu membawa anaknya ke pusat kesihatan paling dekat.

Menurut Ary News, mereka mengambil masa dua jam tiba di hospital dan anaknya selamat melahirkan bayi di hospital.

Lebih mengejutkan dua beranak bersama cucu yang baru dilahirkan itu juga terpaksa pulang menggunakan kereta lembu yang sama selepas hospital tersebut sekali lagi enggan membawa mereka pulang menaiki ambulans.