BEIJING: Zhang Yuchen, 12, mendapat perhatian netizen media sosial kerana sikap pemurahnya yang menyumbangkan lebih 2,000 keping pelitup muka kepada pemandu bas.

Pelitup muka itu kemudiannya diagih kepada penumpang.

Menurut Zhang dia mendapat idea itu selepas melihat situasi ayahnya yang ketika keluar dari rumah terlupa membawa pelitup mukanya.

Namun, ada penumpang bas yang baik hati memberi pelitup muka kepadanya.

Ekoran itu Zhang berharap pelitup muka pemberiannya itu dapat menolong penumpang lain apabila memerlukannya.

Beijing News memberitahu, gadis itu menggunakan wang sakunya sendiri membeli pelitup muka terbabit.

Video yang kini tular di media sosial menunjukkan Zhang menunggu di stesen bas sepanjang Ahad lepas semata-mata hendak memberi pelitup muka kepada pemandu bas yang berhenti di stesen tersebut.

Dia menyerahkan pelitup muka itu kepada 14 pemandu bas dan meminta mereka memberikannya kepada penumpang yang terlupa membawanya ketika keluar dari rumah.

Keprihatinan Zhang mendapat pujian pelayar media sosial.