BAU: Seorang penganggur ditahan selepas taktiknya menyembunyikan 1.09 gram dadah jenis syabu di dalam kotak rokok gagal apabila berjaya dikesan oleh polis ketika diperiksa di rumahnya di Kampung Blimbin, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata lelaki berusia 26 tahun itu ditahan kira-kira jam 11.30 pagi oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau.

“Semasa diperiksa, suspek sedang memegang satu kotak rokok sebelum diminta menyerahkan kepada pihak polis dan pemeriksaan ke atas kotak rokok berkenaan menjumpai satu paket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis syabu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Poge menambah ujian air kencing turut mendapati suspek positif Methamphetamine.

Beliau berkata suspek akan direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952.