KUCHING: Dua wanita menjadi mangsa Parcel Scam selepas ditipu dua jejaka asing yang dikenali menerusi laman sosial.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak Superintendan Maria Rasid berkata kes pertama melibatkan wanita berusia 33 tahun yang merupakan penjawat awam bertugas di sebuah jabatan kerajaan di Simunjan, dengan mengalami kerugian lebih RM3,000.

Katanya mangsa telah berkenalan dengan seorang lelaki bernama Reyyan Jackson pada 26 Februari lalu, yang mengatakan dirinya berasal dari United Kingdom dan setelah dua minggu berkenalan.

“Reyyan Jackson mengatakan ada menghantar bungkusan barang kepada mangsa dan dalam bungkusan tersebut mengandungi barang kemas, komputer riba, iPhone dan wang tunai dalam mata wang USD pada 3 Mac 2021 dan kemudian meminta mangsa membayar cukai pelepasan Jabatan Kastam sebanyak RM3,000.

“Mangsa kemudian membuat dua transaksi pemindahan wang berjumlah RM3,550 secara dalam talian ke satu akaun bank atas nama  individu yang tidak dikenali pada 5 dan 6 Mac lalu seperti yang diarahkan suspek,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata mangsa menyedari ditipu setelah lelaki terbabit meminta bayaran tambahan sebanyak RM10,000 tetapi barang kiriman  tidak diterima,” katanya.

Manakala, Maria berkata kes seterusnya melibatkan seorang pelajar Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Kuching berusia 27 tahun, yang mengalami kerugian lebih RM3,000 setelah ditipu lelaki warga United Kingdom bernama Joseph Foster Smith, yang dikenalinya melalui Instagram pada 5 Mac lalu.

Katanya suspek mengatakan akan memberikan kotak hadiah yang mengandungi barang-barang berharga seperti beg tangan, wang tunai sebanyak 20,000 GBP, telefon bimbit, barang kemas, minyak wangi, komputer riba dan jam tangan kepada mangsa sebagai hadiah tanda persahabatan.

“Suspek kemudian meminta mangsa membuat pembayaran sebanyak RM3,500 sebagai bayaran cukai pelepasan Kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana bungkusan yang dikirim itu mengandungi mata wang Pound Sterling.

“Mangsa telah membuat dua transaksi kemasukan wang berjumlah RM3,500 melalui mesin ATM di sebuah bank di bandar raya Kuching ke satu akaun bank atas nama individu yang tidak dikenali pada 16 dan 18 Mac lalu,” katanya.

Maria berkata mangsa menyedari ditipu setelah suspek meminta bayaran tambahan berjumlah RM8,810 sebagai bayaran pelepasan barangan kiriman, namun barangan itu tidak diterimanya.