KUCHING: Penghuni di Desa Bina Diri (DBD) di sini perlu diberi didikan dan pendedahan mengenai literasi digital sejajar dengan perkembangan semasa. Desa Bina Diri ialah pusat yang ditubuhkan untuk memberi jagaan, perlindungan dan pemulihan kepada pengemis yang memerlukan bantuan.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, penghuni boleh dididik dengan asas penggunaan telefon bimbit.

“Ini membolehkan penghuni mempunyai kemahiran menggunakan gajet kerana literasi digital penting dalam kehidupan seharian dan dijadikan persediaan jika mereka kembali ke dalam komuniti pada satu hari kelak.

“Apabila sudah ada kemahiran untuk menjana pendapatan, mereka boleh menggunakan kaedah dalam talian mempromosikan seterusnya menjual produk masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program lawatan ke pusat itu di Jalan Datuk Mohd Musa Kota Samarahan di sini, semalam. Fatimah menambah, pendidikan literasi digital perlu didedahkan dengan kaedah yang bersesuaian mengikut peringkat umur dan kelebihan penghuni pusat berkenaan.

“Saya cadangkan DBD menggunakan kaedah fonetik bagi memberi kemahiran membaca dan menulis kepada penghuni DBD.

“Objektif kami supaya mereka dapat membaca dan melalui kemahiran itu, ia dapat meningkatkan keyakinan diri, harga diri dan pandangan mereka kerana ia merupakan perkara yang paling penting,” katanya.

Selain itu, Fatimah berharap DBD dapat bekerjasama dengan Jabatan Pertanian supaya penghuni dapat meneruskan kehidupan selepas keluar dari pusat tersebut. “Latihan berasaskan pertanian merupakan sebahagian daripada aktiviti rekreasi di tempat ini yang dapat dimanfaatkan selepas mereka keluar kelak.

“Namun, tidak semua memiliki tanah setelah keluar dari pusat ini di kemudian hari. “Jadi bagaimana mereka ingin mencari pendapatan dan meneruskan kelangsungan hidup mereka dalam keadaan serba kekurangan,” ujarnya.

Beliau memberitahu, apabila penghuni keluar dari DBD, pekerja khususnya pekerja sosial di pusat itu perlu sentiasa membimbing mereka.

Malah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mempunyai geran RM5,000 yang boleh diberi kepada bekas penghuni institusi kebajikan kita untuk meneruskan perniagaan sehingga mereka mampu berdikari. “Inilah cara kita membantu mereka dari segi membeli peralatan memasak, hidroponik dan sebagainya,” tambah beliau.