KUCHING: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanakkanak (KWKPK) melaksanakan 113 operasi menyelamatkan gelandangan secara bersepadu dan bersasar sehingga Februari lalu.

Menterinya Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, melalui operasi itu, sebanyak 301 gelandangan berjaya diselamatkan.

“Tahun 2020, seramai 237 gelandangan hasil 83 operasi di 11 bahagian diselamatkan yang membabitkan90 orang di Kuching, Bintulu (43), Sibu (41), Miri (21), Sri Aman (18), Sarikei (9), Limbang (7), dan dua gelandangan masing-masing di Kapit, Serian, Betong dan Mukah.

“Sehingga Februari 2021, seramai 64 orang daripada 30 operasi di lapan bahagian diselamatkan – 26 gelandangan di Miri, Kuching (19), Sibu (7), Samarahan (4), tiga di Sarikei dan Limbang serta seorang gelandangan di Sri Aman dan Bintulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program lawatan ke Desa Bina Diri (DBD) Kuching di Jalan Datuk Mohd Musa di sini pada Selasa.

Fatimah menambah, tanggungjawab DBP juga harus dijelaskan dalam menangani isu gelandangan di Sarawak. Pusat itu dihuni 26 orang terdiri daripada 15 lelaki dan 11 perempuan setakat hari ini.

“Saya juga difahamkan 19 orang daripadanya menghadapi masalah mental seperti skizofrenia, kemurungan, dementia, terencat akal dan masalah psikologi.

“Maka, Majlis Pembangunan Sosial dan DBD perlu bekerjasama rapat dan menjadi rakan strategik bagi memudahkan kita membantu mereka yang dikategorikan sebagai kategori papa ini.

“Ini satu objektif di bawah MPS dan satu daripadanya pula fokus membantu orang gelandangan,” jelasnya. Fatimah memberitahu, MPS mewujudkan satu kunci pencapaian untuk membantu DBD dari segi keberhasilan seperti pengurusan diri penghuni dan sebagainya.

Hadir sama pada program itu Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis, Setiausaha Tetap KWKPK Dr. Rashidah Bolhassan, Ketua Bahagian Pembangunan Sosial KWKPK Dr Zufar Yadi Brendan Abdullah, Ketua Bahagian Pemulihan dan Perundangan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) Mohd Ali Taib dan Penguasa DBD Tiong Kunyok.