KUCHING: Dalam usaha memulihkan ekonomi, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) telah bersetuju memberi kebenaran bagi sektor Spa, Refleksologi, Pusat Urutan Kaki dan Pusat Karaoke untuk beroperasi mulai Sabtu ini, 27 Mac.

JPBNS berkata, premis-premis ini dikehendaki mendapatkan kelulusan dari Jawatankuasa Pengurusan Bencana  Bahagian (JPBB) sebelum memulakan operasi.

“Semua pekerja dan pengusaha mesti telah menjalani ujian swab untuk RT-PCR (keputusan negatif Covid-19) sebelum memulakan operasi.

“Pemeriksaan berkala akan dilaksanakan untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dipatuhi,” kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, SOP tersebut boleh diperolehi dari laman web Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (http://mlgh.sarawak.gov.my).

Sementara, Daerah Tebedu hari ini telah bertukar status dari status hijau
kepada status kuning setelah enam (6) kes jangkitan tempatan baharu dikesan di Daerah ini.

Kata JPBNS, jumlah daerah berstatus kuning di negeri ini menurun kepada 15 daerah.

“Daerah Tanjung Manis pula telah bertukar status daripada status kuning kepada status jingga setelah merekodkan sejumlah 24 kes jangkitan tempatan covid-19 dalam tempoh 14 hari yang lepas.

“Ini menjadikan jumlah daerah berstatus jingga telah meningkat kepada 3 daerah,” jelasnya.

Manakala tambahnya, 12 daerah lain kekal berstatus merah dan 10 daerah lain
kekal berstatus hijau.