Thursday, December 9, 2021

Anak tipu ibu, dakwa menuntut di Universiti Oxford

Secara Rawak

ANKARA: Kisah wanita yang sanggup menipu ibunya demi mendapatkan wang belanja, menyebabkan dia menerima kecaman netizen seluruh dunia.

Merve Bozkurt, 25, memberitahu ibunya dia menuntut di Universiti Oxford, England dalam jurusan kedoktoran.

Tujuannya untuk mendapatkan duit belanja daripada ibunya biarpun dia sedia maklum ibunya miskin dan hanya menjual bunga untuk pendapatan hariannya.

Merve pula bekerja sebagai agen hartanah di Istanbul.

Si anak sanggup melakukan pelbagai perkara bagi memastikan kedua-dua ibu bapanya percaya bahawa dia sedang menuntut di Univerisiti tersebut.

Malah dia menghantar foto memakai kot putih doktor dan berpelitup muka.

Kisahnya terbongkar apabila ibunya di temu ramah media tempatan kerana kesanggupannya berkorban demi kejayaan anaknya.

Usaha Gulseren Bozkurt memastikan anaknya menjadi doktor dengan menjual bunga menyebabkan orang ramai kagum dengannya.

Malah, pihak media juga menemuramah Merve dan tanpa segan silu wanita itu merakam foto bersama ibunya tanpa rasa bersalah.

Merve bagaimanapun tidak menyangka kisah ibunya menjadi tular dan orang yang kenal dengannya mula membuka cerita bahawa dia sebenarnya bekerja di Istanbul dan bukan tinggal di UK.

Menurut Oddity Central, wartawan mula menyiasat lanjut kisahnya dan turut mencari namanya di Universiti Oxford.

Apabila dia mula diserang oleh netizen, Merve terpaksa mengaku tentang penipuannya yang berlarutan lima tahun dan memohon maaf kepada kedua-dua ibu bapanya dan orang ramai.

Namun semuanya sudah terlambat dan dia terus menerima kecaman orang ramai.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru