Wednesday, July 28, 2021

Kalimah Allah: Fahami semangat Perjanjian 20 Perkara, 1963

Mesti baca

PADA Mei 1986, kabinet yang diketuai Tun  Dr Mahathir Mohamad membenarkan penganut Kristian di Malaysia menggunakan kalimah “Allah” secara bersyarat. 

Rundingan yang membawa kepada penyelesaian itu diadakan selepas beberapa ribu buku untuk bumiputera beragama Kristian di Sarawak dirampas Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Bumiputera beragama Kristian membentuk 64 peratus atau hampir dua per tiga masyarakat Kristian di Malaysia. Di Sarawak sekitar 46 rakyatnya adalah beragama Kristian.

Isu ini sentiasa hangat dan kontroversi. Ia bagai duri dalam daging. 

Pada 11 Mei 2008  terjadi satu kejadian yang mengundang perhatian penganut Kristian apabila cakera padat (CD) berjudul ‘Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah’, ‘Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah’ dan ‘Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah’, dirampas daripada Jill Ireland, seorang wanita Melanau Kristian, sebaik dia tiba dari Indonesia di Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang.

Beliau kemudian memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 20 Ogos 2008 untuk menuntut pemulangan CD yang dirampas itu dengan bayaran ganti rugi.

Isu itu berlarutan hingga selama sekitar 13 tahun. 

Pada 2014, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Jill dan memerintahkan agar kesemua lapan CD itu dipulangkan, namun tidak membuat sebarang penghakiman mengenai relif-relif lain yang dimohon.

Mahkamah Rayuan pada 23 Jun 2015, mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya CD berkenaan dipulangkan kepada Ireland.

Mahkamah Tinggi di pada Rabu  lalu membenarkan penganut Kristian  di seluruh negara menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan pendidikan agama itu. Keputusan itu disambut lega oleh penganut Kristian khususnya di Sabah dan Sarawak.

Namun, rupa-rupanya isu dan episod itu belum lagi berakhir. Sebab, berapa kumpulan pendesak Melayu mendesak kerajaan agar mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu. Jadi, Kerajaan Persekutuan  pun mengambil tindakan untuk membuat rayuan di Mahkamah Rayuan. 

Kalaupun keputusan mengenai kes itu sudah dibuat, ini bukan bermakna ia akan berakhir, kerana kes itu masih dapat dibawa ke Mahkamah Persekutuan.

Seyogia diingat, penganut Kristian menggunakan kalimah “Allah” dalam upacara mereka dan bertutur dalam bahasa kebangsaan dan bahasa ibunda sejak beratus-ratus tahun lamanya.  

Dari segi sejarah, penggunaan kalimah Allah dalam terjemahan Bible (bahasa Inggeris) ke Alkitab (bahasa Melayu) dibuat oleh mereka dari Australia dan Britain  yang datang menyebarkan Injil di Borneo beratus-ratus tahun dahulu. 

Kita perlu ingat, selagi kes itu tidak diputuskan secara tuntas dan muktamad, selagi itulah ia akan terus menghantui penganut Kristian di negara ini. Malah, selagi itulah juga ia akan memberi implikasi terhadap hubungan agama dan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Jika kita imbas kembali,  ketika Sarawak masih di bawah pemerintahan Brooke, Jepun dan  British, tiada masalah bagi penduduk bumiputera selain Melayu untuk menggunakan nama Allah sebab tiada larangan. 

Satu daripada syarat persetujuan penduduk Sarawak untuk sama-sama membentuk Malaysia pada 1963 adalah kerana adanya jaminan dari segi agama.

Bahawa mereka mempunyai kebebasan untuk beragama, dan tidak akan ada agama rasmi di Sarawak.  Perkara itu dimaktubkan di bawah Perjanjian 20 Perkara.

Saya dapat bayangkan,  kalaulah penduduk beragama Kristian tahu bahawa mereka tidak akan dibenarkan menggunakan nama Allah setelah bergabung dengan Malaya, sudah tentu tidak akan ada Malaysia yang kita kenali hari ini. Ya, tidak ada Malaysia tanpa Sarawak dan Sabah. Semangat perjanjian berkenaan perlu benar-benar difahami dan ia tidak harus dikhianati, kerana ini akan mencetuskan konflik dan kesangsian, sehingga akhirnya menjejaskan hubungan kaum, agama , kesepaduan sosial dan integrasi nasional.

Saya yakin, jika tidak terdapat jaminan dari segi kebebasan agama termasuk penggunaan ‘Allah’ dalam sembahyang dan kitab mereka, pasti gagasan Malaysia tidak menjadi kenyataan 58 tahun lalu. Maksudnya, belum tentu terbentuk sebuah negara Malaysia.

Perlu disedari bahawa di Sabah dan Sarawak sudah sekian lama “Allah” terdapat dalam kitab Injil dan digunakan dalam upacara sembahyang penganut Kristian baik apa-apa pun mazhabnya sama ada Roman Katolik, Anglikan, Evangelikal, Baptis, Brethren, Lutheran, Methodist, Presbyterian, atau gereja-gereja yang tidak berdenominasi. 

Kita perlu faham, tidak terdapat penganut Kristian yang monolitik yang dapat digeneralisasi atau diitlakkan. Di Sarawak misalnya, kaum Bidayuh kebanyakannya menganut fahaman Roman Katolik dan Anglikan. Orang Ulu misalnya, Kenyah, Kayan dan Lun Bawang majoritinya menganut fahaman Evangelikal. Kaum Iban pula menganut pelbagai mazhab. Kaum Melanau Kristian majoritinya  menganut mazhab Katolik.

Isu kalimah Allah bukan isu di Sarawak.  Ia isu Malaya, bukan isu di Sarawak atau Sabah. Sejak dahulu hingga kini di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, pendirian Kerajaan Sarawak adalah jelas. Bahawa penganut Kristian tidak dihalang menggunakan kalimah Allah.  Pendirian Kerajaan Sarawak sejak dahulu adalah jelas dan tegas. 

Walaupun sudah ditegaskan dan dijelaskan  berkali-kali, malangnya ada-ada sahaja pihak, termasuk pembangkang yang mengambil kesempatan dengan mengeksploitasi dan memanipulasikan isu ini. Mereka mahu  muncul sebagai jaguh walaupun jaguh palsu.  

Itulah sebabnya mereka cuba menangguk di air keruh dengan menggambarkan seolah-olah  Kerajaan Sarawak  tidak mempedulikan isu ini. Perlu ditekankan, ini bukan isu di Sarawak.  Jadi, kita harap isu ini diselesaikan secara muktamad dan tidak lagi dibangkitkan selepas ini.

Kerajaan Persekutuan pada 2011 mengemukakan penyelesaian 10 perkara sebelum Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10, untuk membolehkan Bible dalam bahasa Melayu dan bahasa bumiputera diedar secara bebas di Sabah dan Sarawak.

Kalimah itu boleh digunakan oleh penganut Kristian. Disebabkan ada pihak yang cuba menjejaskan imej kerajaan dan reputasi Abang Johari, Pejabat Ketua Menteri pada Khamis terpaksa mengeluarkan satu lagi kenyataan berhubung isu ini. 

Menurut kenyataan itu, Kerajaan GPS akan terus mempertahankan dan memelihara toleransi beragama di Sarawak kerana ia faktor penyatuan utama bagi rakyat di negeri ini. 

Adakah golongan penghasut dan cuba mengambil kesempatan ini, sudah lupa bahawa hanya Kerajaan Sarawak yang menubuhkan Unifor yang melindungi kepentingan agama-agama lain selain daripada Islam? Prinsip yang dipegang adalah berdasarkan surah Al Kafirun ayat 6 yang bermaksud “bagimu agamamu dan bagiku agamaku.”

Kita perlu realistik. Kita tidak mungkin memaksa penganut agama Kristian untuk mengubah panggilan dan seruan kepada Tuhan mereka.   Ingat, kandungan Bible yang merujuk kepada Lord God juga diterjemah sebagai Tuhan Allah.

Percayalah,  walaupun mereka   didesak  dan dilarang sekalipun, mereka akan tetap menyebut nama  Allah dan Tuhan Allah sampai bila-bila. Malah, mereka akan bangkit mempertahankan hak tersebut.  Alasannya,  perkataan itu adalah nama yang disebut, diguna dan diseru oleh mereka sejak turun-temurun. 

Jadi, tidak mungkin nama itu dapat dipadamkan atau diarahkan untuk tidak digunakan dalam sekelip mata walaupun oleh mahkamah.  Mereka  sudah sebati dengan nama ini kerana ia sudah dipakai sejak beratus-ratus tahun. Jadi, sesiapa pun tidak harus dilarang daripada menggunakan perkataan Allah sama ada seseorang itu Muslim atau penganut agama lain. 

Kecualilah kalimah  itu hendak digunakan untuk mengelirukan atau menghina penganut Islam. Yang penting kita harus saling bertolak ansur dan saling memahami demi keharmonian hubungan etnik dan agama di negara ini agar kita akhirnya dapat mencapai kesepaduan sosial dan integrasi nasional sebagai sebuah negara bangsa yang unggul.

Dr Jeniri Amir ialah Felo Kanan Majlis Profesor Negara 

Secara Rawak

Artikel Terbaru