KUALA LUMPUR: “Kalau kami tahu dalam kaedah Perlembagaan dan institusi negara kita, bahawa apabila Yang di-Pertuan Agong memberikan pandangan begitu, bermakna ia memberikan gambaran yang jelas bahawa pandangan kerajaan itu tidak tepat untuk menggantung Parlimen,” kata ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Menurut Anwar  titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung penggantungan Parlimen memberikan gambaran yang jelas bahawa tindakan kerajaan adalah tidak tepat.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebelum ini, Seri Paduka Baginda sudah menzahirkan pandangan bahawa darurat yang diisytiharkan tidak bermakna sidang Parlimen perlu digantung.

Presiden PKR itu  menyifatkan penggantungan Parlimen menjadikan Malaysia seolah-olah sama dengan Myanmar.

“Jadi cara kami melahirkan bantahan kami kepada keputusan penggantungan Parlimen walaupun Yang di-Pertuan Agong telah memberikan pandangan bahawa darurat ini tidak bermakna sidang Parlimen boleh digantung,”  katanya menerusi satu entri di laman Facebook rasminya selepas mengadakan mesyuarat bersama ahli-ahli Parlimen pembangkang pada Isnin.

“Jadi, (kami) hanya menunggu keputusan Perdana Menteri.

“Kalau kami tahu dalam kaedah Perlembagaan dan institusi negara kita, bahawa apabila Yang di-Pertuan Agong memberikan pandangan begitu, bermakna ia memberikan gambaran yang jelas bahawa pandangan kerajaan itu tidak tepat untuk menggantung Parlimen,” kata Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson.