Thursday, December 9, 2021

Ziarah kubur: Rancang masa semasa perayaan Qing Ming Jie ini

Secara Rawak

MIRI: Masyarakat Cina tidak perlu tergesa-gesa untuk menziarahi tanah perkuburan menjelang perayaan Qing Ming Jie yang akan disambut pada 4 April ini.

Menteri Pengangkutan Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Datuk Lee Kim Shin berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak telah memberi kelulusan untuk tempoh masa yang agak panjang bagi perayaan Qing Ming Jie iaitu dari 20 Mac hingga 14 April 2021.

“Ahli keluarga terdekat boleh merancang jangka masa atau selang masa yang berlainan untuk tujuan menziarah tanah perkuburan.

“Berpandukan kepada garis panduan JPBN Sarawak, aktiviti menziarahi tanah perkuburan Qing Ming Jie telah ditetapkan tidak melebihi 8 orang ahli keluarga sahaja.

“Manakala bagi menziarah Columbarium atau Dewan Memorial kehadirannya tidak melebihi dua orang ahli keluarga sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke Tapak Perkuburan Cina Krokop Miri pada Ahad.

Pada kesempatan itu, beliau telah menziarahi kubur arwah ibu dan bapanya serta memberi penghormatan kepada mereka sempena Hari Qing Ming (Hari Semua Jiwa Cina) bersama 4 ahli keluarganya yang lain sebagai mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti yang dikeluarkan JPBN Sarawak.

Pada tahun lepas aktiviti Qing Ming Jie tidak dapat dilakukan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk ritual untuk menghormati nenek moyang di Columbarium.

Sementara itu, Datuk Lee Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri memberitahu tiada wujud kluster Tahun Baru Cina sepanjang sambutan itu berlangsung pada awal tahun ini.

“Tiada sebarang kluster ‘Tahun Baru Cina’ dikesan merupakan hasil kerjasama yang erat daripada masyarakat Cina di Miri dan mematuhi SOP yang ditetapkan JPBN Sarawak.

“Patuhi SOP yang ditetapkan kerajaan dan jangan terkeliru dengan SOP yang dikeluarkan oleh sumber bukan rasmi kerajaan.

“Berharap kerjasama ini akan dapat diterus dan dikekalkan menjelang perayaan Qing Ming Jie ini,” ujarnya.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Amanah Khairat Cina Miri Temenggung Yong Vui Seng, DatuK Bandar Miri Adam Yii, Penghulu Leonard Fong, Kapitan Jee Kee Hiong dan Kapitan Chong Kee Hua.

SourceUKAS

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru