MUKAH: Seorang pekerja sebuah syarikat swasta dicekup bersama 2.04 gram dadah jenis ganja di dataran Pehin Mukah, Rabu lalu.

Suspek lelaki berusia 36 tahun itu ditahan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik Mukah di dalam sebuah kenderaan sekitar jam 9.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintendan Jimmy Panyau berkata, suspek awalnya didapati dalam keadaan mencurigakan sebelum pasukan rondaan bertindak membuat pemeriksaan terhadap kenderaan jenis Proton Preve yang berhenti di lokasi kejadian.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan dinaiki suspek menemui satu peket plastik lut sinar berisi cebisan-cebisan daun kering disyaki dadah jenis ganja seberat 2.04 gram.

“Suspek bersama barangan kes seterusnya dibawa ke pejabat bahagian siasatan jenayah IPD Mukah untuk tindakan siasatan lanjut, katanya dalam satu kenyataan semalam.