KUCHING: Majlis pecah tanah jambatan terpanjang di Sarawak  akan diadakan pada Selasa ini.

Dengan panjang 5.1 kilometer, Jambatan Batang Lupar bukan sahaja akan memudahkan  pergerakan dan menjimatkan masa, tetapi merupakan satu kebanggaan bagi rakyat Sarawak.

Majlis itu akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Selasa, 23 Mac 2021.

Jambatan yang menelan kos RM848 juta itu dijangka siap pada 2025 .

Jambatan itu menyeberangi muara Batang Lupar ke Triso.

Jambatan itu merupakan sebahagian projek rangkaian Jalan Pesisir dan Jajaran Jalan Utama Kedua yang bernilai RM11 bilion di bawah pelaksanaan Kerajaan Sarawak.

Projek jambatan ini sebenarnya dijanjikan oleh Putrajaya ketika di bawah pentadbiran BN  atas persetujuan perkongsian kos 50-50 peratus.

Namun apabila kerajaan PH mengambil alih kuasa selepas kemenangan pada PRU-14, persetujuan itu telah ditarik balik.

Kerajaan GPS kini menanggung keseluruhan kos demi kepentingan rakyat Sarawak.

Untuk rekod, jambatan terpanjang di dunia ialah Jambatan Metro Wuhan, China sepanjang 37,788 meter atau 37.788 kilometer.