BAU: Empat penganggur lelaki disyaki terlibat dalam salah guna dadah ditahan hasil Ops Bersepadu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Bau dalam tempoh dua hari bermula Jumaat.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, keempat-empat suspek kini dalam tahanan reman selepas ujian saringan air kencing mengesahkan mereka positif dadah jenis Methamphetamine.

Menurut beliau, operasi hari pertama pada Jumaat menahan dua lelaki masing-masing berusia 19 dan 44 tahun hasil serbuan di dua lokasi berbeza.

“Suspek pertama, 44, yang ditangkap di tepi sebuah rumah Kampung Plaman Sibuluh sekitar jam 10.30 pagi itu disahkan positif dadah jenis Methamphetamine.

“Manakala suspek berumur 19 tahun ditahan bersama sepeket plastik lut sinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis yang sama, hasil serbuan pasukan di sebuah rumah di Kampung Grogo. Hasil ujian saringan mendapati suspek ini turut positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan semalam.