Wednesday, July 28, 2021

Isu kalimah Allah: Ini pandangan orang Sarawak 

Mesti baca

Tiada halangan untuk penganut Kristian di Sarawak menggunakan kalimah ‘Allah’, kata Pejabat Ketua Menteri beberapa hari lalu.

Ketua Menteri Sarawak  Datuk Patinggi Abang Johari  Tun Openg berkata demikian sebagai mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu yang membenarkan wanita Melanau dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam mengamalkan agamanya.

Penggunaan kalimah Allah bagi merujuk kepada Tuhan bagi masyarakat yang bukan beragama Islam di Sarawak tidak akan disekat.

Pendirian Abang Johari dan Kerajaan GPS amat tegas dan jelas dalam hal ini, dan telah diulang berkali-kali oleh Abang Johari sebelum ini.

Ada yang sengaja menangguk di air keruh. Yang jelas mengambil kesempatan ialah Presiden PSB Datuk Seri Wong Soon Koh.

Soon Koh tahu dengan mengeksplotasi isu itu, dia akan dapat meraih keuntungan politik — political mileage.

Adun Bawang Assan itu mendakwa dia tidak mahu bermain politik dan main retorik, sedangkan sebenarnya dia bermain politik dan bermain retorik.

Sekilas ikan di air sudah tahu jantan betinanya. Kita tahu agenda dan motif Soon Koh yang mahu memastikan PSB tidak karam dalam PRN-12  Sarawak nanti.

Maka, ini  antara isu yang dapat menyemarakkan sentimen pengundi. Beliau tidak mahu melepaskan peluang itu.

Beliau menggesa Abang Johari  memintas Putrajaya menarik balik rayuan ke itu di Mahkamah Tinggi. Soon Koh bagai tidak faham undang-undang.

Soon Koh sengaja memanipulasikan isu ini. Isu ini bukan isu di sarawak. Abang Johari sudah tegaskan berkali-kali  sejak beliau menjadi Ketua Menteri bahawa, tiada halangan bagi sesiapa, termasuk penganut Kristian di Sarawak menggunakan kalimah itu,

Masih perlukah diulang beratus kali tentang hal ini ke dalam telinga Soon Koh yang sengaja memekakkan telinga dan membutakan mata itu?

Ingat, tiada mana-mana negeri di Malaysia, termasuk di Sabah yang mewujudkan Unifor, yang menggambarkan bahawa agama-agama lain selain Islam turut diberi perhatian di negeri ini.

Kita perlu ingat isu ini telah sengaja dipolitikkan untuk sekian lama.

Jadi, pada 2015 Tan Sri Dr Adenan Satem juga memberi jaminan masyarakat bukan Islam di negeri berkenaan juga bebas mengamalkan agama masing-masing.

Katanya jaminan itu diberikan kepada seluruh rakyat Sarawak tanpa mengira agama dan bangsa.

Beliau juga menyeru semua rakyat Sarawak sentiasa menghormati kepercayaan masyarakat lain di negeri berkenaan.

“Saya memberi jaminan sebagai Ketua Menteri Negeri Sarawak yang beragama Islam, anda bebas mengamalkan agama ada seperti mana yang anda mahu, saya tidak akan memberitahu bagaimana anda harus mengamalkan agama anda,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Surat Hak Milik Hak Adat Tanah Bumiputera pada 13 ogos 2015.

“Ini Sarawak, bukan Semenanjung Malaysia. Kita jangan ikut amalan masyarakat di Semenanjung Malaysia,” tegas beliau.

Tegasnya masyarakat Sarawak menghormati kebebasan beragama dan saling menghormati agama lain.

Hakikatnya, sudah sekian lama penganut Kristian menggunakan nama Allah dalam semua ibadah, doa, nyanyian, serta penulisan dan penerbitan.

Ya, sejak beratus-ratus tahun lalu ketika mubaligh dari Britain dan Australia menyebarkan agama itu di Sarawak.

Isu berkaitan agama dan kebebasan agama antara perkara yang dipersetujui ketika pembentukan Malaysia 58 tahun lalu. Malah perkara itu termaktub dalam Perjanjian 20 Perkara.

Kalaulah orang Sarawak yang berkepercayaan Kristian tahu bahawa mereka akan dihalang menggunakan nama Allah setelah bergabung dengan Semenanjung Tanah Melayu pada 1963, saya yakin Malaysia tidak mungkin berjaya dibentuk. Jadi, kita perlu menghormati semangat asal penubuhan Malaysia.

Jangan sama sekali terkeluar dari landasan asal kalau kita mahu Malaysia telah wujud.

Dalam pada itu, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dipetik berkata dalam sebuah portal bahawa sesiapa pun tidak harus dilarang daripada menggunakan perkataan Allah. Kenyataan Hadi itu tentu melegakan.

Menurutnya, sama ada seseorang itu Muslim, penganut agama lain – termasuk yang melantik banyak Tuhan, tidak beragama, atau ateis yang tidak percaya akan adanya Tuhan – tidak boleh dilarang menyebutkan perkataan Allah dalam bentuk ucapan atau tulisan.

Bahkan, menurut Abdul Hadi, ia turut merangkumi orang yang berpelajaran tinggi, orang yang paling bodoh, buta huruf, bahkan orang yang paling gila dan tidak siuman serta tidak mempunyai akal langsung.

“Jangan sekali-kali melarang mereka daripada menyebutkan perkataan Allah,” pesan Abdul Hadi dalam catatan Minda Presiden Pas di Facebooknya beberapa hari lalu.

Kata Abdul Hadi, memang terdapat agama lain selain Islam yang menggunakan perkataan Allah seperti contohnya masyarakat Arab yang bukan Islam.

Jadi, bagi kita di Sarawak, tidak usah gundah.

Kita tidak harus terperangkap dalam permainan politik dan usaha pihak tertentu yang cuba menangguk di air keruh. Kita perlu menjaga keharmonian dan toleransi agama di negeri ini. Kita perlu saling menghormati. Di Sarawak hakikatnya, tiada masalah dan halangan untuk penganut Kristian menggunakan kalimah Allah. Sesiapa yang cuba memesongkan isu ini, sebenarnya cuba bermain politik.

Secara Rawak

Artikel Terbaru