Filem indie, Belaban Hidup: Infeksi Zombie memenangi kategori seram dan sains fiksyen bagi genre filem cereka di World Film Carnival (WFC) Singapore 2021.

Kejayaan filem terbitan Hornbill Films Sdn Bhd dan Harry Aziz Entertainment Sdn Bhd – yang mengisahkan sekumpulan anak yatim dikurung untuk menjadi bahan uji kaji oleh seorang saintis gila – diumum menerusi laman sesawang WFC Singapore pada 18 Mac.

Lebih istimewa filem yang mendapat dana daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu menggabungkan elemen seram dan aksi masyarakat Dayak di Sarawak.

Menurut Bernama, penerbit dan pengarahnya Ray Lee, 45, berkata idea untuk membuat filem itu bermula sejak 2016 melalui kolaborasi dengan penulis skrip berasal dari Limbang, Sarawak, Misha Minut.

“Asalnya, ia adalah cerita pendek tetapi diubah menjadi sebuah filem.

“Kita tahu tidak banyak cerita Dayak yang ditayangkan di pawagam. Jadi, terniat di hati saya menerbitkan sebuah yang mengetengahkan kisah pahlawan Dayak Sarawak,” katanya seperti dipetik Bernama.