KUCHING: Daerah Sri Aman semalam bertukar kepada status merah setelah menyaksikan 49 kes jangkitan Covid-19 tempatan dalam tempoh 14 hari lepas, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).
Menurut Datuk Amar Douglas Uggah Embas , ini menjadikan jumlah daerah berstatus merah di negeri ini setakat Jumaat sebanyak 12 daerah.
Pada Jumaat terdapat 23 kes positif baharu dikesan di Sri Aman; 15 kes ialah individu yang disaring melalui pengesanan kes secara aktif kepada kes positif Covid-19.
Kata Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri, daerah-daerah lain yang berstatus merah ialah Song, Serian, Subis, Julau, Betong, Meradong, Kuching, Kapit, Bintulu, Miri dan Sibu.
“Tiga daerah kekal berstatus jingga iaitu Samarahan, Bau dan Sarikei dengan jumlah keseluruhan kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari lepas sebanyak 92 kes,” jelas beliau
“Manakala 16 lagi daerah kekal berstatus kuning dan sembilan daerah kekal berstatus hijau,” katanya.
Kata Uggah lagi, daerah berstatus kuning ialah Mukah, Selangau, Dalat, Limbang, Telang Usan, Tanjung Manis, Kanowit, Belaga dan Lundu, selain Bukit Mabong, Tatau, Pusa, Asajaya, Beluru, Saratok dan Sebauh.
Jelasnya, sembilan daerah berstatus hijau ialah Marudi, Pakan, Matu, Lawas, Daro, Simunjan, Lubok Antu, Tebedu dan Kabong.