KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuktikan bahawa beliau seorang Perdana Menteri yang dihormati kerana beliau tegas memberi tumpuan kepada menjaga kebajikan rakyat.

Namun menurut Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan saingan politik beliau sedang cuba merosakkan imej ini dengan tohmahan yang bertubi-tubi kerana mereka tahu mereka tidak mempunyai calon Perdana Menteri yang lain.

Beliau mengulas laporan bahawa pejabat Adun Kuang Sallehudin Amiruddin membuat laporan polis mendesak penyiasatan terhadap dakwaan bahawa berjuta-juta  ringgit  dibayar kepada sebuah parti politik melalui seorang peguam berprofil tinggi.

Wan Saiful  mengecam laporan polis yang mendakwa parti itu menerima komisen RM500 juta kerana membantu Putrajaya mencapai penyelesaian dengan Goldman Sachs berkait skandal kewangan 1MDB dan menyifatkannya sebagai  strategi fitnah pembunuhan watak.

“Terkini timbul tohmahan mengaitkan Bersatu melantik agen untuk ambil komisen daripada penyelesaian kerajaan dalam kes 1MDB,” katanya dalam satu kenyataan seperti dipetik Malaysiakini.

“Ada juga tuduhan bahawa kerajaan tidak telus dalam menangani kes 1MDB dan Goldman Sach,” katanya lagi.

Menurut Wan Saiful  dia tertanya-tanya sekiranya “wujud strategi gelap” bersama antara kumpulan penaja parti Pejuang dan DAP untuk menyerang Bersatu.

“Saya ialah ahli Biro Politik Bersatu dan juga ahli dalam Jawatankuasa Pengurusan Bersatu. Saya tahu semua ini tidak berlaku,” tegasnya.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya fitnah ini. Tidak ada agen yang dilantik. Tidak ada komisen diterima. Ini bukan budaya kami dalam Bersatu.

“Parti ini ditubuhkan untuk memperjuangkan integriti dan tadbir urus yang telus. Komitmen kami ialah memastikan kes 1MDB diselesaikan segera, semua yang bersalah menerima keadilan, dan dana negara yang dirompak dikembalikan untuk manfaat rakyat,” katanya lagi.