Thursday, December 9, 2021

Bagaimana hubungan Bersatu, GPS PRN-12 nanti?

Secara Rawak

KUCHING: Apa-apa pendirian muktamad Gabungan Parti Sarawak (GPS) berhubung persefahaman dengan Bersatu  dalam menghadapi PRN-12 Sarawak akan diumumkan pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Ketua Whip GPS di Parlimen, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata setakat ini gabungan melibatkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), memang akan bertanding di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Sarawak nanti.

Beliau berkata GPS akan meletakkan calonnya di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan parlimen dalam negeri, namun mereka tetap ada persefahaman dengan Bersatu.

“Pendirian muktamad (akan diumumkan) oleh Ketua Menteri (Abang Johari),” katanya dalam sidang media selepas menghadiri program Malaysia Prihatin di sini, semalam seperti dipetik Bernama.

Beliau yang juga Naib Presiden Kanan PBB berkata demikian semasa ditanya pendirian GPS berhubung ura-ura Bersatu bercadang untuk bertanding dalam PRN Sarawak nanti yang dijangka akan diadakan sebaik sahaja berakhirnya tempoh darurat ekoran penularan Covid-19 sekarang.

Bersatu menduduki salah satu kerusi DUN di negeri ini menerusi ADUN Krian, Datuk Ali Biju, yang memenangi kerusi berkenaan sebagai calon PKR dalam PRN ke-11 yang diadakan pada tahun 2016.

Ali yang juga Anggota Parlimen Saratok dan Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli bertindak untuk menyertai blok yang diketuai Datuk Seri Azmin Ali selepas keluar dari PKR dalam bulan Februari tahun lepas, sebelum menyertai Bersatu pada bulan Ogos.

Selain beliau, seorang lagi Ahli Parlimen dari Sarawak, Datuk Willie Mongin yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan mewakili Parlimen Puncak Borneo, turut mengambil langkah yang sama.

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru