Thursday, December 9, 2021

17,193 nelayan  terima bantuan dari JKMS

Secara Rawak

KUCHING: Seramai 17,193 nelayan berdaftar dengan Persatuan Nelayan Negeri Sarawak (PENESA) setakat 31 Januari lalu.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK), Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, jumlah tersebut membabitkan 18 Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) di seluruh negeri ini.

“PENESA ditubuhkan bagi membantu merancakkan aktiviti ekonomi nelayan serta sebagai pemangkin kepada mereka untuk memperkasakan lagi martabat nelayan dari pelbagai aspek,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada PENESA di pejabatnya di sini, Jumaat

Menurut Fatimah, pelbagai inisiatif disediakan kerajaan negeri untuk pembangunan sosial nelayan di Sarawak menerusi Majlis Pembangunan Sosial (MPS), KWKPK.

Katanya, antara bantuan tersebut ialah program pembasmian kemiskinan bagi ahli-ahli PENESA yang layak melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta program temu seru (outreach) untuk keluarga yang terjebak penggunaan bahan-bahan terlarang bagi tujuan pemulihan.

Selain itu katanya, ahli PENESA turut menerima lapan skim bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) setakat ini.

“Antaranya ialah Bantuan Am (BA), Bantuan Belia-Beliawanis (BBB), Bantuan Kanak-Kanak (BKK), Bantuan Anak Pelihara (BAP), Bantuan Orang Tua (BOT), Elaun Pekerja Cacat (EPC), Bantuan Penjagaan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB),” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru