BEIJING: Wanita berusia 25 tahun, yang sudah berkahwin menerima kejutan apabila doktor memberitahunya bahawa dia sebenarnya lelaki.

Menurut doktor, wanita tersebut secara biologi dilahirkan sebagai lelaki.

Wanita bernama Pingping itu hidup sebagai wanita 25 tahun dan dia juga berkahwin tahun lalu.

Namun, dia tidak pernah datang haid dan juga tidak hamil selepas berkahwin setahun.

Menurut Global Times, perkara ini terbongkar selepas Pingping mendapat rawatan doktor kerana pergelangan kakinya terseliuh.

Beberapa siri pemeriksaan di Gabungan Universiti Hospital Perubatan Universiti Zhejiang menunjukkan dia tidak mempunyai rahim atau ovari dan hanya mempunyai organ seks wanita yang belum matang.

Dia dikatakan mempunyai kromosom Y lelaki, yang bererti Pingping secara genetiknya ialah lelaki.

Setelah diperiksa teliti, Pingping didiagnosis menderita penyakit kongenital yang mungkin disebabkan oleh perkahwinan orang tuanya yang mempunyai pertalian saudara.

Menurut Global Times, Pingping dinasihat oleh doktornya berunding dengan pakar kesihatan mental bagi menentukan arah kehidupannya pada masa depan.