KUCHING: Mempergunakan golongan memerlukan duit atau yang tiada duit sebagai keldai akaun menjadi taktik sindiket penipuan dalam talian untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

Keldai akaun ialah sindiket melibatkan individu yang membenarkan nama mereka digunakan untuk akaun bank bagi tujuan penipuan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, setakat ini, pihaknya menangkap seramai 127 individu yang menjadi keldai akaun di negeri ini.

Bagaimanapun katanya, kebanyakan individu terbabit tidak mengetahui siapa dalang sebenar yang menggunakan identiti mereka untuk membuat akaun bank.

“Banyak akaun palsu yang digunakan sindiket yang menyasarkan golongan terdesak memerlukan duit sebagai keldai akaun,” katanya.

Aidi berkata, polis juga bekerjasama dengan pihak bank untuk mengenal pasti dan menyiasat individu yang membuka terlalu banyak akaun bank.

Katanya setakat ini, seramai 75 individu didakwa atas kesalahan yang sama. Menjelas lanjut Aidi berkat, Love Scam menjadi antara kes penipuan tertinggi di Sarawak, yang setakat ini merekodkan sejumlah 30 kes.

“Kebanyakan Love Scam berlaku melibatkan warga asing, dengan kerugian dialami mangsa mencecah RM900,000,” katanya. Selain itu kata Aidi, bagi pinjaman tidak wujud pula merekodkan 25 kes dengan jumlah kerugian sebanyak RM1.5 juta.

“Kes ini bermula dengan cubaan membuat pinjaman. Misalnya meminjam RM10,000 tapi kerugian akibat ditipu melebihi kadar pinjaman yang ingin dilakukan,” katanya.

Aidi menambah, turut dikenal pasti ialah kes penipuan Internet dengan pembeli membuat pembelian secara dalam talian namun tiada barang yang dihantar. Katanya, rekod terkini menunjukkan sebanyak 56 kes dilaporkan dengan nilai kerugian sebanyak RM250,000.