BEIJING: Selepas tidak terpilih menjadi Presiden AS untuk penggal keduanya, ramai menyangka Trump luput dari ingatan rakyat China.

Namun perkara sebaliknya berlaku, malah patung “Buddha” Donald Trump kini mendapat perhatian tertinggi di platform jualan dalam talian dengan slogan “jadikan syarikat anda hebat sekali lagi!”

Patung tersebut menyaksikan Trump duduk bertafakur dengan kepalanya ditundukkan dan kedua-dua tangannya diletak di paha, dilabel oleh penjual di Taobao sebagai “Trump, yang memahami Buddha lebih daripada orang lain.”

Patung itu dijual dengan harga 999 yuan (RM632) hingga 3,999 yuan (RM2,530) bergantung pada saiznya.

Menurut Global Times, penjual itu memberitahu idea memperkenalkan patung Trump ini tercetus gara-gara slogan Trump iaitu “Jadikan Amerika hebat semula” dan Trump juga sentiasa mendakwa dia lebih pandai daripada orang lain.

Ekoran itu, penjual tersebut menggunakan slogan berkenaan “untuk menjadikan syarikat China hebat semula”.

Menurutnya lagi kebanyakan orang membelinya hanya untuk suka-suka. Setakat ini mereka menghasilkan 100 patung Trump itu, namun mereka baru menjual lebih sedozen di pasaran.