KUCHING: Dua lelaki tempatan yang menjadi ‘transporter’ membawa masuk Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) kantoi ketika sedang mengambil lima warganegara Indonesia di Jalan Kampung Raso 1, Lundu.

Komander PGA Sarawak Senior Asisten Komisioner (SAC) Mancha Ata berkata kegiatan mereka itu gagal apabila diserbu oleh anggota Task Force Cawangan Skuadron Perisai 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) Dan anggota Pos Raso pada jam 5 pagi semalam.

“Mereka yang masing-masing memandu Perodua Axia dan Proton Saga diserbu ketika kesemua warga Indonesia itu sedang menaiki kenderaan.

“Pemeriksaan mendapati semua warga Indonesia terbabit tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan memasuki Malaysia menggunakan jalan tikus,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata kedua-dua suspek yang berumur 25 tahun bersama lima PATI terbabit yang berumur 25 hingga 33 tahun telah dibawa ke Hospital Lundu untuk menjalani ujian calitan Covid-19 dan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu untuk tindakan selanjutnya.

Mancha berkata kes disiasat di bawah Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ANTIPSOM) 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.